Kerajaan tidak bercadang untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah dari negara Asia yang lain termasuk China, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong.
Beliau berkata, ini kerana kerajaan merasakan bilangan negara sumber sedia ada sudah mencukupi untuk menampung keperluan domestik.
"Pada masa ini, negara sumber yang dibenarkan untuk pengambilan pembantu rumah asing di Malaysia adalah Indonesia, Thailand, Kemboja, Filipina, Sri Lanka, India, Laos dan Vietnam,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Yeow ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mendapatkan khidmat pembantu rumah dari negara Asia yang lain memandangkan majoriti pembantu rumah asing yang bekerja di Malaysia adalah warga Indonesia.
Lee berkata, kerajaan memahami kesulitan yang dialami oleh rakyat dalam mendapatkan khidmat pembantu rumah asing terutamanya selepas pembekuan penghantaran pembantu rumah dari Indonesia.
"Justeru, permohonan pembantu rumah asing dari negara bukan sumber boleh dikemukakan kepada kementerian berdasarkan case-to-case basis untuk mendapatkan pertimbangan dan keputusan,” katanya.
- Bernama