Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan mengenai laporan portal Wikileaks yang mendakwa beliau terlibat dalam skandal pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, lapor Harakahdaily .
Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar( kiri ) berkata, Najib tidak boleh bersikap tidak ambil peduli berhubung dakwaan ini kerana ia melibatkan kepimpinan negara dan boleh memberikan kesan kepada sosial dan ekonomi negara.
"Pelbagai dakwaan yang dibuat ini sangat penting kerana membabitkan Perdana Menteri semasa bukan bekas Perdana Menteri. Ini akan memberikan satu kesan kepada ekonomi negara kita.
"Menteri tidak boleh bersikap tidak endah terhadap laporan Wikileaks sedangkan media dalam negara kita mengendahkan laporan wikileaks dengan memuatkan hal-hal berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim tapi Perdana Menteri kata perkara yang berkaitan beliau itu tidak perlu diendahkan," kata beliau dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, semalam.
Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS sebelum itu membangkitkan perkara itu dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar Negeri.
Menteri, Datuk Seri Anifah Aman dalam jawapannya memberitahu beliau akan mengambil perhatian terhadap laporan itu.
Sementara itu, ahli parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, laporan ini mengambarkan seolah-olah Singapura menganggap Perdana Menteri anti-Cina apabila membuat dakwaan mengenai kemungkinan berlakunya rusuhan di Malaysia.
Anti Cina
"Perdana Menteri diberi gambaran yang begitu berat oleh diplomat dan pemimpin Singapura sehinggakan dalam Perdana Menteri cuba untuk promosi konsep 1Malaysia dan sebagainya, kerajaan Singapura memberi gambaran bahawa akan berlaku rusuhan kaum dan orang Cina akan banjiri Singapura.
"Ini memberi implikasi bahawa Singapura menganggap Perdana Menteri anti Cina sebab akan berlaku rusuhan kaum seperti yang dilaporkan dan ini bercanggah dengan usaha Perdana Menteri untuk menunjukkan semangat perpaduan dan sebagainya. Najib mesti ambil berat atas tuduhan itu," kata beliau.
Ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bimbang laporan ini merupakan permainan Singapura untuk menguji kewibawaan Malaysia.
"Kita lihat pemikiran pegawai risikan dari singapura mereka mengatakan mereka ambil sumber ini dari sumber tertentu. Kita sedar hubungan antara Malaysia dan Singapiura ada pasang surutnya.
"Kita bimbang tindakan singapura ini bertujuan menguji kewibawaan Malaysia dan permainan mereka untuk menyekat pelabur asing ke Malaysia," katanya.
Sementara itu, ahli parlimen PKR akan memulakan usaha mendapatkan sepenuhnya semua kabel-kabel berhubung Malaysia daripada sumber-sumber yang sah seperti Kedutaan Amerika Syarikat, akhbar Sydney Morning Herald , akhbar The Guardian selain Wikileaks sendiri.
Adili semua kabel
Mereka juga akan membantu memulakan kempen untuk mendapatkan semua kabel-kabel ini untuk dinilai secara adilnya oleh rakyat Malaysia.
Ahli parlimen Batu, Tian Chua ( atas, kiri ) yang juga pengarah strategik PKR petang semalam ke Kedutaan Singapura bagi menyerahkan memorandum dari PKR kepada kerajaan republik pulau itu.
Baru-baru ini laman web antarabangsa, Wikileaks mendedahkan mengenai maklumat risikan Singapura yang dihantar kepada Australia yang menyatakan Anwar memang melakukan kesalahan tersebut, akibat diperangkap oleh seteru politiknya, meskipun Anwar menyedari tentang perkara itu.
‘Maklumat’ itu yang disiarkan oleh akhbar Australia, Herald Sun ( Sydney Morning Herald ), menimbulkan kecaman pemimpin Pakatan Rakyat yang menyifatkan pendedahan itu sengaja di ada-adakan tanpa sebarang bukti kukuh.