Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kimma minta jawatan senator
Diterbitkan:  Dec 12, 2010 4:00 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) memohon kerajaan melantik seorang Senator daripada kalangan anggota parti itu untuk mewakili kaum India Muslim di negara ini.

    

Presidennya Datuk Syed Ibrahim Kader berkata ini kerana parti gabungan Umno itu tidak mempunyai saluran untuk bersuara secara langsung terutama bagi menyuarakan masalah kaum India Muslim terus kepada kerajaan.

    

"Seperti kaum lain di Malaysia, kaum India Muslim juga tidak terkecuali daripada menghadapi masalah, walaupun hampir kesemua dasar kerajaan mengambil kira kedudukan dan pandangan semua kaum di Malaysia, kaum India Muslim sering terpinggir," katanya.

    

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Tahunan Kimma ke-34 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini.

    

Syed Ibrahim berkata Kimma juga memohon kepada kerajaan agar wakil India Muslim ditempatkan di Majlis Kerajaan Negeri dan Majlis Kerajaan Tempatan supaya mereka dapat menyalurkan masalah kaum itu kepada pihak berwajib serta mendapat maklumat tentang peluang perniagaan dan perdagangan di dalam mahupun di luar negara.

    

Beliau juga menyarankan agar kerajaan mewujudkan satu dana khas perniagaan untuk industri kecil dan sederhana dan peniaga kecil India Muslim untuk memudahkan peniaga kecil itu mendapat dana pusingan modal bagi memulakan atau membesarkan perniagaan.

    

Mengenai persediaan pilihan raya umum ke-13, Syed Ibrahim berkata Kimma telah memulakan langkah proaktif untuk mendaftar pengundi-pengundi baru khususnya daripada golongan India Muslim bagi menghadapi pilihan raya umum.

Syed Ibrahim berkata tinjauan parti itu mendapati tujuh daripada 10 individu India Muslim telah mendaftar sebagai pengundi.

    

"Bagaimanapun, masih terdapat kira-kira 120,000 orang yang belum mendaftar sebagai pengundi dan Kimma sedang giat menjalankan aktiviti pendaftaran dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftarkan mereka ini," katanya.

    

- Bernama

ADS