Pertubuhan Pendaftar Syarikat (ROS) masih berdiam mengenai status penubuhan Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti politik walaupun permohonan itu dibuat lebih setahun lalu, lapor TV Selangor .
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendaftar ROS hanya mengadakan satu perjumpaan dengan gagasan itu dan kemudian tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai perkara itu.
"Pendaftar hanya jumpa hanya sekali lepas itu dia tak layan langsung, tak peduli, jadi kita akan ambil tindakan susulan," kata Anwar di ibu pejanat PKR di Petaling Jaya, hari ini.
Pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai satu entiti telah tertangguh sejak tahun lalu.
Bulan lalu Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution bahawa Pakatan Rakyat akan membincangkan logo baru bagi gabungan itu.
Beliau berkata parti-parti komponen bersetuju atas logo bersama untuk gagasan itu namun kesal dengan tindakan Pendaftar ROS yang terus melengahkan kelulusan.
"Ia tidak berbangkit sekarang sebab kita dah terima tiga-tiga parti ini. Kalau ada cadangan lain kita boleh anjurkan tapi setakat ini logo seperti di dada saya ini," katanya lagi.
Sementara itu Anwar menyatakan bahawa Pakatan Rakyat masih memperlengkapkan senarai calon dan pengagihan kerusi untuk pilihanraya umum akan datang yang dijangka diadakan pada suku pertama tahun depan.
"Pengarah pilihan raya dah jumpa dari segi kerangka kerja tentang memperinci pemberian kerusi itu mengambil masa," tambahnya lagi.