Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Usah gadai masa depan negara pada Pakatan
Diterbitkan:  Dec 11, 2010 3:23 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pihak Pakatan Rakyat tidak mungkin akan dapat mengambil alih peranan yang dilaksanakan BN untuk memimpin negara ini.

azlan Justeru, beliau berkata, rakyat Malaysia tidak perlu menggadai masa depan negara kepada pembangkang yang dilihat hanya bijak menabur janji-janji manis.

"Mereka tidak mempunyai ideologi yang didukung bersama, hanya tahu menabur janji dan mempunyai pegangan masing-masing yang terlalu longgar dalam kesepakatan politik," katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Deepavali Parlimen Pekan, di Pahang, hari ini.

Najib berkata, kepimpinan BN yang sebelum ini dikenali sebagai Perikatan, telah berjaya membawa negara mencapai kemerdekaan dan mengisi perjuangan kemederkaan selama lebih 50 tahun dan akan terus memacu negara ini menjadi sebuah negara maju.

"Janganlah mengambil risiko (menyokong Pakatan Rakyat) yang akan sebabkan kita menyesal di hari muka," katanya.

Najib berkata, sejarah telah membuktikan bahawa pemimpin yang hanya tahu menabur janji akhirnya akan mendatangkan musibah kepada rakyat.

NONE Katanya, kepimpinan BN selama ini telah berusaha gigih menunaikan segala janji yang diungkapkan dan diterjemahkan demi kepentingan rakyat dan negara.

Beliau turut berikrar akan melaksanakan pentadbirannya dengan seadil-adilnya untuk kepentingan semua kaum di negara ini.

"Saya akan pegang kepada semangat 1Malaysia, dahulukan kepentingan rakyat, Insya-Allah rakyat akan mendapat manfaat besar di bawah kepimpinan Barisan Nasional," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS