Satu kumpulan sedang mengambil inisiatif untuk mengumpulkan semua mangsa rumah terbengkalai di seluruh negara untuk mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemaju yang terbabit.
Kumpulan tersebut yang menggelar diri mereka sebagai Abandoned Property Owners Malaysia (Victims) - mengambil langkah pertama hari ini dengan menganjurkan satu perhimpunan mangsa rumah terbengkalai di Selangor.
Usaha itu mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 220 pembeli dan anggota keluarga mereka yang menjadi mangsa projek rumah terbengkalai berhimpun di kompleks membeli-belah di KLCC petang tadi.
Rata-ratanya mereka terdiri daripada pembeli dari kawasan perumahan terbengkalai di Ukay Bistari, Lestari Puchong, Bukit Jalil dan Lestari Perdana.
Ketika ditemui Malaysiakini, mereka menyuarakan kekecewaan terhadap projek perumahan mereka yang gagal disiapkan oleh pemaju dengan hadir menyertai perhimpunan itu dianggap simbolik bantahan mereka.
Berlegar-legar
Mereka berhimpun mulai jam 3.15 petang apabila kira-kira 20 pembeli dan anggota keluarga mereka kelihatan berlegar-legar di tingkat satu KLCC.
Kira-kira setengah kemudiannya, mereka bergerak ke medan selera di tingkat 3 untuk menjamu selera sambil berbincang sesama mereka.
Mereka juga berbual dengan para wartawan yang hadir membuat liputan perhimpunan tersebut.
Kehadiran mereka turut menarik perhatian para pengunjung ke KLCC yang turut menyatakan simpati terhadap mereka yang menjadi mangsa rumah terbengkalai itu.
Beberapa anggota keselamatan KLCC kelihatan berlegar-legar mengawal keadaan di situ. Perhimpunan itu berakhir pada kira-kira jam 5 petang.
Sementara itu, pengerusi Victims, Dr Mohamed Rafick Khan Abdul Rahman, dalam kenyataan berkata, badan tersebut ditubuhkan tujuh bulan lalu.
Menurutnya, perhimpunan hari ini diadakan di KLCC sebagai 'hari keluarga simbolik' kerana ia menempatkan menara berkembar di negara ini.
Biasanya, tambah beliau, 'hari keluarga' merupakan hari untuk bergembira, tetapi bukan bagi mereka yang menjadi mangsa rumah terbengkalai.
Katanya, 'hari keluarga' itu diadakan bagi mengingatkan kerajaan di peringkat negeri dan pusat mengenai kewujudan rakyat malang yang telah menunggu sekian lama untuk mendiami rumah sendiri sejak 12 tahun, tetapi ianya tidak menjadi kenyataan.
"Sebagai rakyat dan pengundi berdaftar, adalah amat malang sekali kerana kami terpaksa melalui kesengsaraan hidup seperti sekarang.
"Statistik rasmi menunjukkan bahawa jumlah projek perumahan yang tergendala semakin meningkat," katanya.
Desak hukuman berat
Malah, beliau menggesa kerajaan supaya melakukan sesuatu untuk melindungi kepentingan para pembeli rumah.
Sehubungan itu, katanya, Victims menggesa kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas yang merangkumi Pejabat Peguam Negara, Polis, Imigresen, Lembaga Hasil Negara dan agensi-agensi berkaitan yang lain, untuk mengambil tindakan syarikat pemaju terbabit.
Mohamed Rafick berkata, golongan ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja dan harus dikenakan hukuman yang lebih berat, bukan sekadar didenda sahaja.
Mengenai Victims pula, beliau menyuarakan kekecewaannya kerana permohonan pendaftarannya telah ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Katanya, selepas tujuh bulan menunggu, ROS menolak permohonan pendaftarannya kerana dibantah oleh pegawai dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Kami kesal terhadap ROS yang menafikan hak kami untuk menubuhkan sebuah persatuan yang sah walaupun kami telah memenuhi semua kriterianya," tambahnya.
Malah, katanya, permohonan mereka turut disokong oleh Persatuan Pembeli Rumah.
"Pada masa ini, lebih 15,000 orang dari seluruh Malaysia sedang menunggu untuk menganggotai persatuan ini.
"Kami merayu kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya meluluskan segera permohonan kami," katanya.