Peguambela dalam kes kematian Aminulrasyid Amzah hari ini mempersoalkan keterangan Konstabel Mohd Izham Mahayuddin dan membangkit keraguan terhadap aspek-aspek utama keterangannya mengenai kejadian yang mengakibatkan kematian remaja itu.
Peguam Salim Bashir, yang mewakili Koperal Jenain Subi, mempersoalkan kebenaran keterangan saksi itu, terutama mengenai dakwaan Mohd Izham yang dia telah menembak tayar kanan belakang kereta Iswara Proton yang dipandu oleh mangsa pada malam kejadian
Salim - ketika menyambung soal balas rakan peguamnya, M Athimulan - berkata keterangan saksi tersebut tentang apa yang berlaku di Bulatan Kayangan dan penembakan tayar tersebut, adalah palsu, sambil menegaskan yang ia bercanggah dengan laporan forensik ke atas kereta itu.
Mohd Izham bagaimanapun bertegas bahawa dia telah menembak tayar kereta tersebut ketika melepas tembakan dari senjata Heckler dan Koch MP5, walaupun selepas dia membaca - atas arahan Salim - laporan forensik yang menyatakan salah satu peluru ditemui di rim dan bukan pada tayar belakang kereta Iswara itu.
Ketika Salim bertanya sama ada dia menembak tayar atau rim, Mohd Izham menjawab: Tayar.
Apabila Salim berkata yang laporan CSI (penyiasat di tempat kejadian) berkata peluru itu mengenai rim, Mohd Izham menjawab: Saya tidak tahu.
Berikutan itu Salim bertanya Mohd Izham sama ada beliau yang berbohong atau CSI yang berbohong, saksi itu berkata beliau tidak tahu.
Salim memberitahu saksi itu bahawa tembakannya tidak kena, dan Mohd Izham menjawab beliau tidak pasti.
Salim juga mempersoalkan ketepatan Izham menembak, dengan menggunakan hasil uji latihan senjatapi konstabel itu untuk membuktikan yang dia mendapat mata terendah antara empat anggota polis yang terbabit dalam kejadian mengejar kereta Aminulrasyid.
Peguam itu kemudiannya berpindah ke saat kereta itu melanggar tembok di Jalan Tarian, dengan menggunakan rujukan dari keterangan saksi utama, Azamuddin Omar sebelum ini untuk menimbulkan keraguan terhadap keterangan Izham.
Beliau menyangkal dakwaan Izham bahawa dia melihat lampu brek kereta tersebut menyala ketika kereta itu melanggar pembahagi jalan dan meluru ke arah tembok itu, dengan merujuk kepada keterangan Azamuddin bahawa mangsa sudah tersungkur ke atas kerusi penumpang depan apabila pelanggaran itu berlaku.
Izham hanya menjawab, sekali lagi bahawa dia tidak tahu.
Sebelum itu, peguambela Athimulan juga menegaskan bahawa dakwaan saksi itu bahawa dia telah menembak tayar kereta tersebut, menyebabkan, ia pancit, bercanggah dengan gambar forensik yang tidak menunjukkan tanda-tanda tayar kempes.
Menurutnya, keterangan Izham bahawa tayar kempes, bercanggah dengan laporan yang difailkan oleh rakan rondaannya, Koperal Azahar Hashim yang menyatakan tayar itu meletup.
Ketika ditanya sama ada dia bersetuju dengan penjelasan dalam laporan Azahar itu, Izham berkata "tidak".
[Baca berita penuh]