Tindakan mengheret Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah adalah semata-mata sandiwara politik Umno dan BN bagi menutup salahguna kuasa yang lain, kata setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Faekah Husin.
Katanya, pendakwaan itu lebih menjurus kepada memberi laluan mudah bagi pimpinan parti itu untuk melantik pengerusi badan perhubungan Umno yang baru.
“Ia juga satu helah untuk Umno Selangor menonjolkan imej bersih dengan mengganti pemimpinnya yang sudah hilang kredibiliti.
“Rakyat sebenarnya tidak peduli dengan sandiwara politik ini. Bagi rakyat, apa yang lebih penting ialah tindakan yang diambil pihak berkuasa terhadap pemimpin-pemimpin Umno dan BN yang mengamalkan rasuah dan sejauh mana kesungguhan parti itu menangani masalah rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faekah berkata rakyat tetap akan menghukum mereka kerana selama 50 tahun, pemimpin-pemimpin Umno bukan saja mengamalkan rasuah malah gagal mentadbir Selangor secara bijak, cuai dan tidak telus.
“Puluhan projek pembangunan yang diluluskan tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan. Akibatnya ia hanya menguntungkan syarikat kroni dan projek pula terbengkalai begitu sahaja. Ribuan pembeli rumah di projek Bukit Botak tertipu dan ramai pula menjadi bankrap.
“Projek Alam Perdana yang melibatkan hartanah seluas lebih 7,000 ekar juga terbengkalai; puluhan ribu pembeli rumah menggigit jari sehingga ke hari ini.
“Hutang Talam sebanyak RM391 juta adalah satu lagi contoh nyata kegagalan pentadbiran Umno-BN. Ribuan ekar tanah telah diagih-agih sesama mereka, baik dalam bentuk pembangunan mahupun sebagai peneroka felda hatta Projek Revolusi Hijau,” katanya.
Menurut Faekah, mendakwa Dr Khir tidak bermakna Umno kini dalam proses pemutihan dan tindakan itu juga langsung tidak mengambarkan keseluruhan kesalahan yang telah dilakukan mantan menteri besar Selangor itu.
“Dosa dan perbuatan rasuah mereka terbongkar selepas Selangor diambil alih kerajaan Pakatan Rakyat yang kini berhempas pulas membersihkan sampah sarap yang ditinggalkan.
“Memang sukar namun hampir separuh masalah tersebut telah berjaya diselesaikan walaupun baru bertapak di Selangor kurang dari tiga tahun. Kesilapan yang dilakukan oleh Umno dan BN tidak akan diulangi oleh kerajaan Pakatan Rakyat kerana kami tidak akan sesekali memandang rendah kebijaksanaan rakyat membuat penilaian dan pilihan,” katanya.
Menurut Faekah, kesalahan Dr Khir bukan semudah yang digambarkan kerana selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kesnya juga membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
“Siasatan perlu dilakukan samada cukai hartanah dikenakan mengikut nilai sebenar lot tanah tersebut memandangkan Dr Khir dengan sengaja memberikan taksiran palsu bagi mengelak dari membayar cukai. Begitu juga dengan bayaran duti setem,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa siasatan terperinci dilakukanm kerana perbuatan mengelak dari membayar cukai dengan melakukan 'under declare' adalah satu kesalahan yang serius.
Pada 6 Disember lalu, Khir Toyo, 45, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.
Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Toyo didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.
ADUN Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.