Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat terus mempertikai kredibiliti kerajaan dan sistem kehakiman negara berhubung kes liwatnya apabila mengundang Anggota Parlimen Bebas Australia Selatan, Senator Nick Xenophon untuk memantau perbicaraan itu dan mengadakan sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Anwar, ketika memperkenalkan tetamunya itu berkata, kehadiran Xenophon ke Kuala Lumpur adalah untuk memerhati perbicaraan kes liwatnya serta bermesyuarat bersama-sama anggota Parlimen pembangkang serta mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin masyarakat.
"...Oleh kerana perbicaraan itu telah ditangguhkan ekoran permohonan kita untuk Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes liwatnya, beliau memutuskan untuk berada di Parlimen bagi memerhatikan prosiding dan perbincangan," katanya.
Xenophon yang juga seorang peguam berkata, tuduhan liwat terhadap Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu harus dikendalikan secara adil kerana perjalanan kes itu turut diperhati masyarakat dunia.
Beliau adalah antara 50 anggota Parlimen Australia yang memprotes supaya tuduhan terhadap Anwar digugurkan pada Februari lalu bagi mencerminkan pemerintahan berkredibiliti kerajaan Malaysia.
Xenophon berkata kerajaan Malaysia seharusnya memberikan maklumat tepat mengenai perbicaraan ketua pembangkang itu dan tidak cuba menyembunyikan pencabulan yang berlaku.
"Isu perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim menjadi perhatian rakyat Australia dan seperti mana yang anda tahu, 61 ahli parlimen Australia telah menandatangani notis kebimbangan mengenai perbicaraan beliau.
"Saya rasa isu yang harus difokuskan adalah keadilan dalam perbicaraan. Saya juga adalah peguam dan saya terkejut dengan kekurangan prosedur keadilan dalam perbicaraan Anwar Ibrahim," kata Xeonophon.