Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah diarah menyiasat kandungan air Tasik Kenyir yang didakwa dicemari bakteria Escherichia coli (e-coli).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ( dua dari kiri ), berkata keputusan siasatan itu dijangka diketahui dalam masa terdekat.
"Bakteria e-coli memang biasa terdapat di tasik-tasik, namun pada tahap tertentu yang tidak membahayakan kesihatan orang ramai.
"Kita dah arahkan pegawai kita untuk ambil sampel air itu dan lihat sejauh mana tingginya e-coli dalam air Tasik Kenyir," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan media bahawa jumlah bakteria e-coli di Tasik Kenyir berada pada tahap membimbangkan berdasarkan kajian oleh Universiti Malaysia Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu Datuk Rahin Mohd Said, yang dipetik dalam laporan itu, bagaimanapun telah menafikannya dan berkata ia mengelirukan dan tidak tepat.
Liow berkata, kementerian akan memastikan kebersihan di Tasik Kenyir itu dijaga termasuk dengan memastikan sistem kumbahan dari tandas awam dan longkang diuruskan dengan baik.
"Kita takut saluran air dari tandas masuk ke Tasik Kenyir tapi kita akan cari juga punca dan sebab peningkatan e-coli di Tasik Kenyir," katanya.
- Bernama