Sayap wanita PKR hari ini mengecam Datuk Seri Najib Razak kerana bertindak "biadap" atas tindakan perdana menteri itu yang menyifatkan pemimpin parti itu sebagai "sangat berbahaya dan anti nasional" dalam satu ucapannya pada hujung minggu lalu.
Ketua pergerakan itu Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan Najib itu juga "tidak mencerminkan ketokohannya sebagai seorang perdana menteri" melalui "hasutan dan fitnah" dalam ucapan pengerusi BN itu di konvensyen parti tersebut, Ahad lalu.
"Sebagai pentadbir nombor satu negara, PM seharusnya lebih memfokuskan kepada kerjanya, namun sebaliknya, PM sendiri asyik bermain retorik dan fitnah, moga dengan harapan agar rakyat akan lupa pada segala perlakuan sumbang dan penindasan Umno-BN selama ini.
Ahli parlimen PKR Ampang itu berkata demikian ketika mengulas ucapan Najib yang menyeru anggota BN supaya menentang pemimpin PKR habis-habisan kerana golongan itu didakwa "sanggup menjual apa sahaja termasuk memburukkan nama Malaysia di luar negara."
Mengulas kenyataan itu, Zuraida berkata "kerajaan Pakatan Rakyat akan sentiasa mendukung prinsip kenegaraan dan patriotisme sebagai elemen utama perjuangannya" seperti yang terkandung dalam Deklarasi Pakatan Rakyat."
Zuraida juga berkata, "siri fitnah PM" itu juga merupakan satu "strategi desperado " bagi mengalih tumpuan masyarakat daripada isu semasa, termasuk kenaikan harga barang.
"PM sendiri tidak menghormati kehendak dan pandangan rakyat, sebaliknya hanya membuat keputusan dengan mementingkan dan menjaga keuntungan kelompok kronisme semata-mata," kata Zuraida lagi dalam kenyataan yang diedarkan semalam.