Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Khabar angin yang mendakwa Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat sakit tenat dan dikejarkan ke hospital adalah tidak benar.

Perkara tersebut disahkan oleh setiausaha akhbarnya Ahmad Fadhli Shaari ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

"Dakwaan yang menyatakan beliau sakit tenat dan dikejarkan ke hospital itu tidak betul," katanya yang juga ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan.

NONE Bercakap kepada Malaysiakini , Ahmad Fadhli bagaimanapun berkata petang semalam Nik Aziz ( kanan ) ada mengadu sakit pinggang.

"Beliau solat subuh pagi ini. Hari ini beliau cuti rehat kerana ada sedikit keuzuran," katanya.

Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai desas desus tersebut malam semalam dan akan menziarahi Nik Aziz untuk mendapatkan perkembangan berhubung kesihatan tokoh PAS itu tengah hari ini.

Sementara itu, penulis blog Merah Tinta, Mohd Sayuti Omar turut menulis perbualannya dengan salah seorang anggota keluarga Nik Aziz yang memberitahu bahawa "Tok Guru sakit tenat tu tak betul".

"Semalam ayah ada mengurut dengan tukang urut baru. Entah guana (macam mana) dia urut kuat ba'kali (barangkali) mungkin kerana tak serasi tangan, ayah sakit urut.

"Dia jadi tidak boleh bergerak... tetapi Alhamdulilah pagi tadi sudah solat Subuh tetapi tak jadi tok imam," coret Mohd Sayuti dalam blognya hari ini.

Khabar angin kononnya Nik Aziz tenat di hospital juga dinafikan oleh anak keduanya, Nik Omar, lapor Bernama .

Kesan balik Mekah

"Ayahanda saya sihat, Alhamdulillah...kesan balik Mekah menunaikan haji ayahanda mengadu sakit di bahagian pinggang sahaja.

"Alhamdulillah (beliau) boleh ke masjid dan sembahyang berjemaah (tetapi) dalam keadaan duduk," katanya kepada pemberita di rumah Menteri Besar itu di Pulau Melaka di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz bagaimanapun tidak menemui pemberita kerana sedang diurut.

Pada jam 12 tengah hari, beliau dibawa ke Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mursyidul Am PAS itu sempat menunjukkan isyarat bagus kepada jurugambar ketika berada dalam kenderaan yang membawanya itu.

Nik Omar berkata masalah kesihatan ayahnya sebenarnya juga tidak mengganggu urusan kerajaan negeri.

"Kalau bercuti pun ayahanda tetap ke pejabat untuk menyelesaikan beberapa tugasnya," katanya.

Nik Omar berkata sebagai anak beliau lebih mengetahui masalah kesihatan yang berlaku terhadap bapanya itu.

"Tak perlu sampai nak menerima rawatan di hospital sebelum ini. Kalau demam tu lainlah dan ini cuma sakit orang tua. Dan mengenai blog yang mendakwa ayahanda sakit tenat itu sayapun tak baca lagi," katanya.

Nik Aziz, 79, menjadi Menteri Besar sejak 1990 dan pernah mendapat rawatan di Institut Jantung Negara beberapa tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS