Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno Selangor tidak ketandusan tokoh untuk memimpin parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang walaupun bekas menteri besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah semalam.

Malah, ahli jawatankuasa Umno negeri Datuk Amiruddin Setro berkata kekuatan Umno di negeri itu "bukan bergantung kepada individu tertentu kerana kekuatan parti perlu dinilai secara keseluruhan".

"Sejarah sebelum ini menunjukkan terdapat tokoh Umno di negeri ini yang masuk penjara, tetapi kekuatan Umno tetap utuh," katanya merujuk kepada kes bekas menteri besar Datuk Harun Idris suatu ketika dahulu.

"Ini (dakwaan ke atas Dr Mohd Khir di mahkamah) satu ujian untuk menggerakkan jentera kita bagi pilihan raya umum ke-13.

"Perkara itu tidak menjejaskan apa-apa (terhadap jentera Umno negeri).  (Lebih penting) adalah penyatuan dalam parti," katanya kepada Malaysiakini pagi ini

Amiruddin mengulas berhubung kedudukan Umno negeri dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 ekoran Dr Mohd Khir didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas tuduhan rasuah.

Dr Mohd Khir didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

ADUN Sungai Panjang itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Amiruddin turut memuji sikap Dr Mohd Khir yang "gentleman" melepaskan jawatannya sebagai ketua pembangkang DUN Selangor bagi membolehlan siasatan menyeluruh dilakukan tanpa menjejaskan imej Umno

Amiruddin yang juga ADUN Jeram turut menyangkal dakwaan bahawa Dr Mohd Khir dihadap ke mahkamah  bagi membuktikan desas-desus akan berlaku rombakan dalam kepimpinan Umno di negeri itu.

"Ia tidak ada kaitan. Selagi tidak ada pengumuman rasmi, ia adalah desas-desus semata-mata," katanya sambil mengakui ada mendengar desas-desus mengenai  rombakan tersebut.

Sementara itu, ketua Umno bahagian Kapar Datuk Abdul Rahman Palil turut sependapat dengan Amiruddin bahawa jentera parti tidak lemah ekoran Dr Mohd Khir didakwa di mahkamah.

"Umno tetap utuh. Parti dan jentera bekerja seperti biasa. (Jentera) kita bergerak sebagai satu pasukan dan tiada kumpulan-kumpulan tertentu," katanya.

Beliau berkata, Dr Mohd Khir juga belum dihukum bersalah oleh mahkamah dan menyerahkan kepada mahkamah bagi memutuskan berhubung pertuduhan terhadap bekas menteri besar Selangor itu.

"Undang-undang tetap undang-undang. Kita tidak pilih bulu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Abdul Rahman yang juga ADUN Sementa berkata pihaknya akan memberi penerangan kepada akar umbi berhubung perkara tersebut sekiranya Pakatan Rakyat menimbulkannya.

"Takkan kerana seorang, kita nak hancurkan parti kita. Biar proses mahkamah menentukannya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS