Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gaps: Lucut Anwar sebagai penasihat ekonomi S'gor

Kira-kira 200 anggota Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) berhimpun hari ini bagi menuntut supaya ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan penasihat ekonomi negeri.

Tuntutan tersebut terkandung dalam memorandum enam perkara yang diserahkan kepada wakil Sultan Selangor selepas perhimpunan selama kira-kira setengah jam.

NONE Memorandum berkenaan diserahkan oleh pengerusi Gaps Hamidzun Khairuddin pada kira-kira jam 3.15 petang di pintu pagar Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Ketika membaca memorandum berkenaan, Hamidzun berkata Anwar perlu dipecat daripada jawatan tersebut kerana menjadi "pemimpin utama sebuah parti politik yang mencanangkan agar perkataan Melayu digadaikan dalam perjuangan politik mereka.

"(Anwar) merupakan virus yang menjadi dalang menyemai kebencian dan cemburu sesetengah pihak terhadap kemajuan umat Melayu.

"Beliau juga dalang memecahkan persahabatan dan perpaduan umat (Melayu)," kata Hamidzun Khairuddin yang turut menuntut supaya Sultan Selangor "mengharamkan Datuk Seri Anwar daripada menjejakkan kaki ke bumi Selangor."

Memorandum itu juga menuntut supaya Sultan Selangor melucut dan menarik balik anugerah bintang kehormat dan darjah kebesaran serta gelaran daripada "mereka yang menerajui dan bersekongkol dalam politik yang menggadaikan perkataan Melayu."

Dalam memorandum itu juga, Gaps menuntut agar kerajaan Selangor "mengurangkan politiking dalam pentadbiran dan pemerintahannya".

Sebaliknya, kerajaan Selangor perlu "mengutamakan kepentingan rakyat khususnya umat Melayu dalam pemerintahan dan menyelesaikan isu rakyat termasuk (dalam) isu pembangunan dan isu bekalan air," kata Hamidzun lagi.

Peserta dalam perhimpunan berkenaan antara lainnya turut melaungkan slogan seperti "Hancur PR, Hancur Anwar, Tangkap Khalid", "Hidup Melayu", "Daulat Tuanku" serta turut membawa sepanduk tertulis "Ketuanan Melayu atau ketuanan Anwar."

Perhimpunan berkenaan turut disertai beberapa pertubuhan, antaranya Majlis Belia Malaysia, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Jaringan Melayu Malaysia.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) turut menyertai perhimpunan serah memorandum pada hari ini, Hamidzun berkata beliau tidak mengetahui perkara tersebut dengan pasti.

"Saya tidak tahu, mungkin kalau ada pun mereka berkumpul (hari ini) sebagai rakyat," katanya.

ADS