Bekas setiausaha agung PKR Datuk Salehuddin Hashim berkata beliau tidak dapat menuduh individu tertentu yang bertanggungjawab memalsukan surat yang didakwa bukti pemecatan P Jenapala daripada parti.
Bagaimanapun, beliau berkata urusan surat menyurat seperti itu biasanya dikendalikan sekretariat parti yang dipimpinnya sebelum ini.
"Tak tahulah, saya (sendiri) tidak pernah buat.
"Yang saya tahu rangka organisasi, perkara seperti ini berlaku dalam sekretariat yang pernah saya pimpin," katanya sambil ketawa kecil.
Bercakap dalam satu sidang media di sebuah kelab golf di Petaling Jaya hari ini, beliau menjelaskan bahawa urusan berkenaan sering ditugaskan kepada timbalannya.
"Selalunya, di zaman saya dulu, kerana terlalu banyak kerja timbalan-timbalan saya akan drafkan surat setelah mendapat arahan saya.
"Setelah didrafkan, dibaca, dan saya setuju, (kemudian) surat itu sama ada saya tandatangani atau benarkan tandatangan elektronik saya digunakan.
"Jadi, sesiapa saja (mungkin melakukannya). Tidak adil bagi kita menuduh sesiapa di peringkat ini.
"Tapi kalau kita buat siasatan, gelanggang suspicion itu akan menjadi lebih kecil dan semestinya orang yang memalsukan itu dapat kita kenali," tambahnya.
Tegasnya lagi, beliau tidak ingin menuduh sesiapa namun mempertikaikan tindakan sesetengah pegawai parti yang beria-ia untuk memperkecilkan isu berkenaan.
Katanya beliau mengandaikan demikian ketika membaca kenyataan oleh Tian Chua dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris.
Sejak bila Tian Chua jadi polis?
"Saya sukacita mengambil maklum bahawa beberapa pegawai PKR telah menyatakan mereka akan bekerjasama penuh dengan polis.
"Tidak seperti Tian Chua yang seakan melantik dirinya sebagai jurucakap pihak polis dengan mengatakan polis tidak berminat dengan butiran teknikal kes ini.
"Ingin saya ingatkan semua pihak bahawa butiran kecil inilah yang memberi gambaran besar.
"Soalan saya semenjak bila Tian Chua ni jadi polis?"
Menurutnya lagi, surat yang kononnya dikeluarkan beliau itu membatasi peruntukan perlembagaan parti.
"Tidak ada individu dalam parti yang boleh secara sendirian memecat keahlian seseorang. Presiden parti pun tidak ada kuasa sedemikian," katanya yang membacakan satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa surat berkenaan tidak menyatakan sama ada pemecatan Jenapala telah diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (kini MPP).
Katanya, perkara berkenaan juga tidak diminitkan dalam mesyuarat MPT bagi tahun 2009.
Bagaimanapun satu minit mesyuarat bertarikh 30 Ogos 2009 menyatakan bahawa biro politik sedang mempertimbangkan tindakan penggantungan ke atas Jenapala.
Memudaratkan parti
"Biro telah mengarahkan jawatankuasa disiplin untuk menyiasat sama ada benar dakwaan dia terbabit dalam aktiviti yang memudaratkan parti.
"Yang menjadi persoalan besar, kenapa biro politik mempertimbangkan tindakan disiplin ke atas Jenapala tujuh bulan selepas dia dikatakan telah dipecat oleh saya melalui surat bertarikh 2 Februari 2009?" katanya lagi.
Katanya lagi, sekalipun Jenapala dianggap tidak layak bertanding, perkara seperti itu tidak selayaknya dibuat ke atas anggota parti tersebut.
"Isu saya walau macam mana jahat sekalipun orang itu, kita mesti tangani mengikut perundangan.
"Kalau kita biarkan sebuah parti yang kononnya telus dan ada prinsip reformasi membuat kerja yang betul-betul melanggar prinsip reformasi, ini ialah satu pentanda tidak baik.
"Parti mana sekalipun yang mengaku reformasi tapi buat kerja-kerja taik, tidak akan mendapat sokongan saya dan saya akan lawan," tegasnya.