Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketuanan Melayu: Usah sorok sebalik songkok
Diterbitkan:  Dec 2, 2010 10:19 AM
Dikemaskini: 7:22 AM

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan rakyat di negara ini, khususnya orang Melayu supaya tidak melupakan sejarah tanah air dan mengenali siapa pengkhianat bangsa dan agama sebenarnya.

NONE “Hari ini, isu pelantikan timbalan perdana menteri ini diolah sekali lagi oleh media milik Umno dengan begitu hebat. Lalu dijemputlah segala pemimpin-pemimpin Umno segenap lapisan untuk memberikan ulasan.

“Seolah-olah Umno satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu, seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul Umno dan seolah-olah rebah Umno bererti rebahlah Melayu. Hanyir dan busuk sekali dakwaan-dakwaan sampah yang disebar luas ke dalam minda masyarakat pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Umno serah kerusi Ketua Menteri

Nik Aziz mengulas laporan media yang membidas kenyataan ketua pembangkang bahawa jawatan timbalan perdana menteri diserahkan kepada bukan Melayu jika Pakatan Rakyat berkuasa pada pilihan raya umum ke-13 menjejaskan konsep ketuanan Melayu di negara ini.

patrick lim and abdullah ahmad badawi and koh tsu koon 270906 “Lupakah kita bahawa Umno pernah menyerahkan kerusi ketua menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun Umno yang mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok di dalam songkok tinggi Umno? Ketika itu, ke mana perginya professor-profesor bertaraf cendikiawan yang sibuk mengulas isu ketuanan Melayu pada hari ini?

“Peliknya apabila Tun Dr Mahathir (Mohammed) sendiri menggesa supaya dilupakan asal usul keturunan demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak untuk diusir keluar negara? Bukankah melupakan asal usul keturunan ertinya melupakan Ketuanan Melayu?” soalnya.

kuala terengganu by election dap dinner 140109 nik aziz and lim kit siang Menurut Menteri Besar Kelantan itu, isu perlantikan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang selaku timbalan perdana menteri sebenarnya dimanipulasikan oleh media milik Umno untuk kepentingan politik mereka.

“Sukalah untuk saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan tentang hal ini.

Salah lapor budaya media Umno

“Syak saya teramat kuat bahawa permainan media telah digunakan dengan amat dahsyat di dalam memanipulasi kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa yang peliknya dengan budaya media milik Umno?” soalnya.

Nik Aziz berkata salah lapor dan salah dengar adalah satu budaya di kalangan petugas media milik Umno.

azlan “‘Islam plastik’ yang pernah saya tuturkan satu ketika dahulu pun pernah dilaporkan sebagai ‘Islam Palestin’.

Menurut mursyidul am PAS itu lagi, pendiriannya dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah bahawa bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam.

“Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya.

Songkok tiga jengkal

“Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai,” katanya.

perkasa protest at chinese assembly hall 6 Menurut Nik Aziz yang penting ialah dasar dan jika dasar Islam, sesiapapun boleh menjadi pemimpin.

“Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa menteri besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh.

“YB Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang Muslim yang soleh. Seorang Muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!” katanya mengakhir kenyataan akhbar berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS