Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah hari ini meminta pihak yang berkenaan mengambil tindakan agar Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah selaku pemilik asal sebelum perjanjian dengan British pada 1786.
Pengerusinya Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata usaha itu lebih penting berbanding menuntut bayaran royalti RM10,000 setahun dinaikkan.
"Setelah merdeka pada 1957, Pulau Pinang yang dijajah sepatutnya dikembalikan kepada Kedah sepertimana Dinding dan Pangkor dikembalikan kepada Perak.
"Sultan Kedah ada hak terhadap Pulau Pinang dan bayaran royalti yang dibuat setiap tahun hingga kini menunjukkan bahawa Pulau Pinang masih kepunyaan negeri ini," katanya pada sidang media, di Alor Setar hari ini.
Beliau berkata perjanjian pada 1786 yang dibuat dengan pihak Inggeris itu adalah disebabkan keperluan ekonomi dan pertahanan, kerana pada ketika itu Kedah diancam oleh pihak Siam.
- Bernama