Seorang saksi kes pembunuhan remaja Aminulrasyid Amzah berkata dia membantu menyembunyikan baju yang digunakan oleh saksi utama, Azamuddin Omar.
Mohd Zubir Salleh, yang bersekolah sama dengan Azamuddin berkata rakannya itu memohon bantuan bagi ‘menyimpan’ bajunya yang digunakan pada malam Aminulrasyid ditembak mati.
Mohd Zubir berkata dia berjumpa dengan Azamuddin ( kiri ) di luar sekolah sekitar jam 7.20 pagi pada 26 Apr lalu dan mendapati kawannya itu mempunyai masalah.
"Saya sapanya dan kami mula berbual. Dia suruh saya kumpulkan rakan-rakan dan kita berjumpa di tandas,” katanya kepada mahkamah sesyen Shah Alam hari ini.
"Kita berjumpa di tandas selepas perhimpunan sekolah dan dia beritahu kami bahawa Aminulrasyid sudah mati.
"Ia berlaku dengan cepat, saya tidak fikir melebihi 10 minit dan ramai yang menaggis,” katanya semasa disoal-balas oleh timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar.
Mohd Zubir berkata ketika di tandas sekolah, Azamuddin kemudiannya member beg plastik pakaian yang digunakan pada malam kejadian untuk disimpan dengan selamat.
Mohd Zubir berkata dia menyimpan baju itu di belakang sekeping zin di sebuah lorong kira-kira 20 meter dari rumahnya di Seksyen 11, Shah Alam kerana bimbang ibunya akan menjumpainya jika dibawa pulang.
Sebelum itu, ketika diosoal-balas oleh peguambela M Athimulan, remaja 15 tahun itu berkata dia tidak tahu pakaian itu berlumuran darah kerana dia tidak pernah membuka beg plastik itu.
Dia bagaimanapun bekerjasama dengan polis forensik yang datang ke rumahnya sekitar jam 1 pagi pada 27 April dan menunjukkan tempat dia menyorok baju Azamuddin.
Teringatkan ibu
Mohd Zubir juga memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa Aminulrasyid Amzah, teringatkan ibunya ketika kereta yang dipandu dikejar kereta peronda polis.
Beliau berkata perkara itu diceritakan oleh Azamuddin yang berada dalam kereta dipandu Aminulrasyid, 15, ketika mereka berada dalam tandas di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 11 di Shah Alam.
"Azamuddin memberitahu dia dan Aminulrasyid telah dikejar polis, dan polis mula lepaskan tembakan bermula di stesen minyak. Azamuddin juga beritahu, Aminurasyid ketika itu nak jumpa dengan mak dia, dan Azamuddin beritahu dia larikan diri selepas disepak," katanya pada perbicaraan Koperal Jenain Subi, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di Shah Alam, antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lalu.
Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya.
Mohd Zubir juga berkata beliau pernah melihat Aminulrasyid memandu kereta milik abangnya di kawasan perumahan tersebut.
Ketika ditanya sama ada beliau pernah menegur mangsa kerana memandu kereta tanpa lesen, saksi itu menjawab: "Saya pun tidak ada lesen" menyebabkan mereka yang hadir ketawa.
Hakim Latifah Mohd Tahar kemudian menasihati saksi itu supaya tidak memandu kereta tanpa lesen kerana ia menyalahi undang-undang.
Perbicaraan disambung 6 Dis ini.