Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan dukacita Melayu gadaikan bangsa sendiri
Diterbitkan:  Nov 29, 2010 11:55 AM
Dikemaskini: 8:05 AM

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita dengan segelintir orang Melayu yang tidak memiliki rasa megah dan bangga sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan bangsa sendiri.

Baginda mendedahkan, matlamat golongan berkenaan adalah agar sistem Raja Berperlembagaan disemak dan dikaji semula.

"Matlamat mereka agar sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara telah menjalani arus pemodenan, dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian, adalah amat tidak bertepatan," titah baginda.

sultan sharafuddin idris shah selangor sultan and his royal family tengku amir shah tengku zerafina tengku zatashah 290409 Sultan Sharafuddin bertitah terdapat juga suara lantang di kalangan orang Melayu sendiri yang meminta perkataan 'Melayu' dihapuskan daripada ungkapan 'Raja-Raja Melayu'.

Titahnya, baginda percaya perbuatan itu dilakukan golongan berkenaan untuk kepentingan diri sendiri atau kepentingan politik mereka.

Baginda bertitah, sejarah yang ditulis oleh orang Inggeris ada menyatakan mengenai 'Tanah Melayu' , 'Negeri Melayu Bersekutu' dan Raja Melayu sekali gus membuktikan penulis Barat ketika itu mengiktiraf adanya Melayu yang memulakan sejarah negara ini.

Menurut Sultan Selangor, alasan golongan terbabit bahawa ia perlu dilakukan kerana negara telah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang sudah tidak bersesuaian adalah amat tidak tepat.

"Beta percaya perbuatan ini adalah untuk kepentingan mereka sendiri ataupun kepentingan politik mereka," titah baginda sewaktu merasmikan wacana Raja Berperlembagaan-Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan, di Shah Alam.

Malu mengaku Melayu

"Beta berasa sedih dengan generasi sekarang yang malu untuk mengaku diri mereka seorang Melayu.

"Di sini beta ingin menyatakan bahawa bukanlah tujuan beta untuk menyalakan api perkauman, tetapi ingin menyatakan kepada kita semua bahawa kita mesti berbangga dengan negeri Selangor yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum iaitu kaum Cina, India dan Melayu, serta kaum-kaum yang lain," titah baginda.

Titahnya, keamanan di Selangor boleh dibanggakan kepada dunia luar kerana negeri itu mempunyai tamadun yang maju dengan kepesatan ekonomi terbina atas keharmonian ketiga-tiga kaum.

Sultan Sharafuddin turut melahirkan rasa bangga dan sukacita dengan langkah kerajaan Malaysia yang akan menjadikan subjek Sejarah sebagai syarat wajib untuk dipelajari oleh rakyat di sekolah negara ini.

Baginda juga mahu rakyat Selangor memahami sejarah negeri itu supaya tidak timbul syak wasangka di antara satu sama lain.

"Kepada rakyat Melayu, beta ingin menyedarkan bahawa rakyat Melayu tidak akan hilang begitu sahaja kerana negeri ini adalah tanah tempat tumpah darah kita, dan di tanah bertuah ini juga tempat kita dikuburkan," titahnya.

Baginda bertitah sejarah yang tercatat sejak beratus tahun lalu menunjukkan bahawa Raja-Raja Melayu telah membuka serta membangunkan negeri-negeri di Tanah Melayu sehingga menjadi sebuah negara maju selain menempa peristiwa membanggakan sehingga mampu bersaing dengan negara lain di dunia ini.

"Oleh itu, dengan mengetahui sejarah, kita dapat menilai betapa susah payahnya kita berjuang untuk mencapai keamanan yang kita peroleh sekarang.

Buka minda

"Beta percaya dengan arahan ini ia akan membuka minda dan kefahaman dari pengetahuan berhubung peranan penting yang berlaku dalam sejarah tanah air untuk tidak timbulnya syak wasangka dan persoalan yang mencurigakan hingga timbul salah faham terhadap sesama rakyat di negara yang kita kasihi ini," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah institusi Raja Melayu merupakan benteng terakhir mengawal dan membanteras anasir yang ingin memecah-belahkan perpaduan rakyat serta keutuhan kerajaan.

"Seandainya pada satu ketika timbul pergolakan politik di negara ini, institusi Raja Melayu akan tetap berdiri utuh sebagai satu badan bebas yang boleh menyatupadukan rakyat agar tidak terus berpecah-belah," titahnya.

Baginda bertitah perkara itu terbukti baru-baru ini apabila Majlis Raja-Raja Melayu mengeluarkan sembilan ketetapan mengenai isu semasa yang menyentuh perpaduan dan keharmonian rakyat.

Titah baginda, kejayaan sesebuah negara membawa kemakmuran kepada rakyat bergantung kepada tahap ilmu yang dimiliki pegawai dan kakitangannya, termasuk mengenai konsep pemerintahan Raja Berperlembagaan di negara ini sejak merdeka.

 

     


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS