Ketua Pemuda PKR (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin mempertahankan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mengarahkan supaya calon tertentu dipilih dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.
"Datuk Seri Anwar hanya usik-usik sahaja, tetapi ada orang cakap, 'eh, Datuk Seri sokong orang itu, sokong orang ini'.
"Takkan kita nak sekat ketua umum beliau nak beri pandangan. Beliau seorang pimpinan, nak beri teguran.
"Takkan tak boleh tegur," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan di Kongres PKR di Petaling Jaya.
Pada 22 November lalu, satu laporan 'kepincangan' pemilihan PKR, antaranya mendakwa terdapat "campurtangan serius" Anwar tersebar di internet.
Menurut laporan yang disediakan oleh calon ketua AMK Badrul Hisham Shaharin, Ketua PKR cabang Kota Marudu - disebut sebagai "Dr Jurin" - melaporkan bahawa Anwar 'mengarahkannya' memberikan sokongan dan menolak calon tertentu.
Kenapa media nak sibuk?
Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution selepas itu, aduan yang dikemukakan itu didapati tidak cukup bukti.
Sementara itu, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin pula berkata, walaupun penyertaan wanita dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bertambah selepas keputusan diumumkan, tetapi masih belum cukup.
"Datuk Seri Anwar (Ibrahim) kata wanita cukup diwakili. Cuba lihat di atas pentas ini (menunjuk ke pentas), adakah wanita terlebih di sini? Belum cukup," katanya.
Sehubungan itu, beliau merayu anggota PKR tidak meremehkan kepimpinan kaum wanita dan diberikan kerjasama bagi memajukan parti.
Sementara itu, menyentuh 'penolakan' Presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kepada cadangannya supaya jawatan ketua umum dirasmikan, Zuraida dengan tidak semena-mena menyalahkan media dan laman sosial yang melaporkannya.
"Itu (hanya) cadangan, yang media nak sibuk mengapa? Parti ini parti siapa? PKR ini siapa punya?
"Kita hendak letak Datuk Seri Anwar di atas ke, di bawah ke, di tepi, di tengah ke, ikut suka kita. Jangan salah letak sudahlah," katanya yang juga ahli parlimen Ampang.