Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Selangor diminta mempertimbangkan supaya kekosongan kerusi canlesor Universiti Industri Selangor (Unisel) diisi oleh timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali yang akan bersara daripada jawatannya.

Bercakap dalam Kongres PKR, calon Srikandi Farah Afzan Faridi berkata, cadangan itu dibuat kerana Dr Syed Husin merupakan calon yang lebih baik daripada penyandangnya sebelum ini Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga isteri perdana menteri.

"Apa nama first lady (wanita pertama) itu? (Hadirin menjawab: Rosmah!) Eloklah Rosmah letak jawatan," katanya dengan nada sinis.

pkr convention 281110 syed husin ali and azmin ali "Kita ada calon yang lebih baik daripadanya, iaitu Dr Syed Husin (kiri) yang boleh menunaikan hasrat pelajar Unisel supaya beliau menggantikan Rosmah.

Beliau tidak bertanding mempertahan jawatan tersebut. Dalam pemilihan PKR, jawatan itu dimenangi oleh Azmin Ali (kanan gambar atas).

Ketika membahaskan usul pendidikan di hari terakhir Kongres PKR di Petaling Jaya hari ini, Farah Afzan meminta Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mempertimbangkan cadangannya itu.

Cadangan itu mendapat sokongan penuh daripada kira-kira seribu perwakilan yang bangun memberikan tepukan gemuruh.

Sementara itu, Khalid dilihat hanya tersenyum mendengarnya manakala Dr Syed Husin pula hanya menggelengkan kepala di atas pentas.

Pada 20 November lalu, Rosmah Mansor mengumumkan pengundurannya sebagai Canselor universiti itu bagi memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui program PERMATA.

Rosmah berkata permohonannya untuk mengundur diri telahpun mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengumuman 'mengejutkan' itu dibuat ketika berucap pada Majlis Perasmian Istiadat Konvokesyen Unisel Kelima di Kampus Bestari Jaya di Kuala Selangor.

Unisel merupakan institut pengajian tinggi milik kerajaan Selangor.

Sementara itu, Dr Syed Husin ketika diberi peluang diberi ucapan khas sebelum kongres ditangguhkan petang ini berkata "menolak bulat-bulat" tawaran itu.

"Minta maaf, saya rasa ada orang lebih sesuai untuk jawatan itu, tak lain tak bukan, presiden kita (Datuk Seri Wan Azizah Ismail)," katanya.

ADS