Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Jangan terpedaya ideologi 'indah'
Diterbitkan:  Nov 25, 2010 12:52 PM
Dikemaskini: 4:56 AM

Generasi muda dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan kumpulan yang mempunyai kepentingan tersendiri yang membawa ideologi dan perjuangan yang indah bunyinya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

NONE Berucap merasmikan seminar Pemimpin Muda Malaysia di Parlimen hari ini, Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata pemimpin muda seharusnya tidak mudah terpedaya untuk mempercayai perjuangan yang telah dipesongkan kebenarannya.

"Kebelakangan ini Malaysia menyaksikan beberapa isu yang disensasikan dan dipolitikkan di mana kebenarannya boleh dipertikaikan. Isu-isu berkaitan agama, undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hubungan kaum dan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang menjadi perkara mutlak yang hangat dibincangkan dan secara tidak langsung membawa kepada keadaan hubungan tidak baik antara kaum dan boleh mencetuskan ketidaktenteraman.

"Pemimpin muda jangan biarkan diri anda dipergunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini," katanya pada majlis itu yang turut dihadiri Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.  

Muhyiddin berkata pemimpin muda sebaliknya hendaklah menggerakkan tenaga mereka ke arah mencadangkan jalan-jalan penyelesaian isu-isu relevan yang boleh menjana negara ke arah Malaysia maju.

"Pemimpin muda hendaklah bertindak dengan cara yang progresif dan bercirikan sikap yang betul di mana mereka dapat meluahkan potensi yang setimpal untuk kemajuan ekonomi, sosial, politik, agama, pelajaran dan sebagainya serta menggunakan tenaga dan hasrat murni dalam membina negara," katanya.

Muhyiddin menegaskan bahawa kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk generasi muda dalam memastikan negara ini mempunyai modal insan yang berintegriti.

"Kerajaan telah melandaskan sebuah sistem demokrasi untuk diwarisi, maka generasi muda pada hari inilah yang bertanggungjawab untuk kesinambungan generasi akan datang," katanya.

Justeru, Muhyiddin mahu pemimpin muda pada hari ini untuk menyahut cabaran dan mengambil peluang untuk menjadikan diri mereka dan negara maju ke tahap yang lebih tinggi dan terus berbangga dengan kejayaan yang dicapai.

Muhyiddin berkata kerajaan memang mengambil berat tentang pembangunan generasi muda di mana pada masa kini, terdapat kira-kira 11.9 juta golongan belia berusia 15 hingga 40 tahun.

    

Oleh itu pengiktirafan kerajaan kepada golongan muda ini adalah penting supaya mereka dapat memberikan sumbangan secara positif dan menjadi teras kepada pembangunan negara, katanya.

"Anda semua merupakan orang penting yang bertindak sebagai penaksir, moderator dan ejen dalam mencapai standard modal insan yang berfikiran positif selari dengan kemajuan dunia.

"Adalah menjadi harapan kita semua pemimpin pelajar muda seperti anda dapat terus memikirkan apa yang dikira sebagai rasional dan objektif dan tidak mudah dipengarusi oleh sebarang unsur luaran negatif," katanya.

Seminar sehari bertemakan 'Pemimpin Muda Malaysia-Membina Rasa Kebersamaan' itu dianjurkan Jabatan Parlimen bertujuan memasyarakatkan pemimpin pelajar dengan pemahaman mengenai asas negara Malaysia di mana Parlimen merupakan sebuah badan yang mempertahankan demokrasi untuk seluruh rakyat amnya dan negara khususnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS