Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Petani desak projek Arowana dibatalkan
Diterbitkan:  Nov 23, 2010 3:19 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Penduduk di daerah Kerian, Perak dan sebahagian Seberang Perai Selatan Pulau Pinang mahu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kerajaan Negeri Perak membatalkan segera projek ternakan ikan Arowana di Bukit Merah kerana mendakwa operasi penanaman padi mereka terjejas, lapor HarakahDaily .

Kawasan penanaman padi yang terbesar di Perak itu meliputi mukim Bagan Serai, Beriah, Gunung Semanggol,  Selinsing, Parit Buntar dan Nibung Tebal.

NONE Sehubungan itu, petani yang ditemui di Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak projek ternakan ikan itu dihentikan. Mereka mendakwa selagi ternakan itu beroperasi semua pesawah akan menanggung risiko terutamanya air yang begitu sukar diperolehi ketika kerja-kerja membajak.

Langkah itu juga wajar kerana ia menjejaskan matlamat utama bekalan air Tasek Merah iaitu untuk penanaman padi dan kegunaan harian penduduk di daerah berkenaan.

Wakil petani, Mohd Rasid Salim berkata, projek yang bermula pada tahun 2000 kini sudah mempunyai 3,808 buah kolam dengan jumlah 70 orang pengusaha berbanding dulu tidak sampai 10 pengusaha.

NONE Petani bertambah kecewa apabila semua aduan mereka kepada Jabatan Parit dan Saliran (JPS) tidak diendahkan dan pegawainya didakwa bersikap lepas tangan seolah-olah menyokong ternakan ikan Arowana yang dikatakan membawa pendapatan lumayan.

"Penduduk kecewa dengan JPS yang tidak memperdulikan nasib petani yang sepatutnya mereka bela bukan membiarkan pengusaha mengambil air sepanjang masa lagipun kawasan itu kawasan pertanian dan sesuai untuk tanaman padi," katanya dengan nada marah.

 Mohd Rasid juga kecewa dengan sikap sesetengah orang kampung yang katanya, begitu seronok memajak tanah kepada pengusaha untuk mendapatkan habuan kecil tanpa menyedari bahawa mereka sebaliknya telah diperkudakan.

NONE Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubu Gajah, Ahmad Nordin pula meminta Menteri Besar Perak turun padang meninjau sendiri masalah yang dihadapi oleh petani di Kerian yang merupakan kawasan padi terluas di Perak.

“Adakah kerajaan mahu melihat kawasan tanaman padi terus musnah dengan kerja-kerja pengusaha tersebut yang entah datang dari mana untuk mengusaha ternakan berkenaan?

"Mereka yang datang dari luar untung besar kami petani rugi mendadak. Apa tidaknya akibat kekurangan air padi terencat dan pengeluarannya menurut hampir 70 peratus," jelasnya.

NONE Bagi pengusaha sawah, Azman Nordin, ada juga pengusaha mendapat notis dari Pejabat Tanah Daerah Kerian kerana melanggar syarat tanah namun tidak diendahkah sebaliknya meneruskan kerja-kerja industri akuakultur seperti biasa.  

Bila sampai musim memulakan pembajakan sawah lazimnya berlaku bertengkaran antara pesawah dan pengusaha ataupun pesawah dengan JPS kerana air tidak dapat dialirkan dengan baik ke petak-petak sawah sebaliknya JPS menghadkan tiga hari sahaja dengan alasan mahu memberikan air ke kawasan lain pula.

Dakwa Azman, JPSsebenarnya mendengar arahan dari pada pengusaha yang menuntut air dibekalkan kepada mereka untuk 24 jam selama 360 hari yang sekaligus menafikan kepentingan air kepada petani sedia ada.

NONE Sementara itu Presiden CAP, SM Mohamed Idris ketika sidang media di pejabatnya semalam menjelaskan, projek tersebut harus dibatalkan kerana ia tidak dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan sama ada kajian kesan kepada alam sekitar (EIA) perlu dilakukan atau tidak.

CAP, katanya percaya dan merasa bimbang pembuangan sisa kolam ke dalam sistem saliran pertanian di daerah ini akan mencetuskan masalah alam sekitar serta pencemaran air yang serius pada masa akan datang.

JPS juga didakwa gagal membanteras kegiaan mencuri air oleh pengusaha terbabit. Rekod menunjukkan dari tarikh 15 Ogos hingga 28 Oktober lalu takungan air di Tasek Merah menurun sebanyak 0.2 kaki (2.4 inci) sehari.

Air Tasek Merah bukan sahaja digunakan oleh lebih 10,000 pesawah melibatkan keluasan sawah 24 ribu hektar tetapi juga menjadi kegunaan harian 200 ribu penduduk setempat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS