Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tegang di mahkamah, polis dikerah kawal keadaan

Ketegangan tercetus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin bertikam lidah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan  beberapa individu di galeri awam.

Semuanya gara-gara peguam utama pembela, Karpal Singh yang gagal dalam usahanya cuba mengasak saksi hari ini, Dr Siew Sheue Feng supaya merujuk kepada nota perubatan asal.

"Saksi-saksi ini sudah diprogram sebagai robot,” bidas Karpal.

Anwar juga dilihat hilang sabarnya hari ini kerana telah berulang-kali dinafikan hak mendapatkan nota perubataan asal yang dibuat oleh doktor-doktor di Hospital Kuala Lumpur.

"Ini sudah melampau kerana awak semua (pendakwa) cuba menyaring semua bukti,” kata Anwar.

Yusof menjawab: "Kau tidak tahu mengenai undang-undang."

Ia kemudian mencetuskan pertikaman lidah pula antara Yusof dengan beberapa individu di galeri awam.

Anggota polis yang berjumlah empat hingga lima orang, termasuk seorang yang berpangkat ASP kemudiannya dikerah bagi mengawal keadaan.

Anwar keluar dari mahkamah masuk beberapa kemudian sambil memberi petunjuk kepasda polis bahawa beliau akan bertenang.

Karpal kemudian berkata pihak pembelaan akan mengemukakan permohonan bagi melucutkan kelayakan hakim membicarakan kes itu kerana Zabidin didakwa gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Kita akan failkan permohonan pagi esok.”

Tak ingat

Sebelum itu, Karpal bertanya kepada Dr Siew berhubung apa yang diisi dalam borang perubatan.

Nama pesakit - saksi menjawab, "Mohd Saiful Bin Bukhari."

No IC  - Dr Siew berkata dia tidak ingat.

Tarikh lahir - sekali lagi doktor itu berkata dia tidak ingat.

Pekerjaan - “pembantu peribadi”

Status - "bujang"

Dr Siew juga berkata dia tidak ingat nombor laporan polis berkenaan.

Karpal kemudian meminta Dr Siew merujuk kepada laporan perubatan. “ Bukankah awak ingin menyegarkan semula ingatan awak berdasarkan nota itu?”

Saksi berkata dia hanya merujuk kepada maklumat dalam laporan perubatan terakhir dan bukan nota perubatan yang asal.

"Saya ada laporan yang lengkap,” katanya.

Pagi tadi, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah sekali lagi menolak permohonan pihak peguambela bagi mendapatkan nota perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam perbicaraan kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, mahkamah tidak boleh memaksa dokumen itu dikemukakan.

Keputusan mahkamah agung

Sebelum itu berlaku pertikaman lidah antara peguam utama pihak pembelaan Karpal Singh yang berhujah bahawa hakim gagal memahami Seksyen 45, Akta Keterangan 1950 yang mensyaratkan seseorang pakar perlu mengemukakan semua dokumen bagi menyokong semua hujah yang dikemukakan di mahkamah.

"Ini keputusan Mahkamah Agung.”

Hakim Mohamad Zabidin berkata: "Bagaiaman jika dia (saksi) tidak mahu melihatnya (dokumen)?”

Karpal berkata ini tidak adil dan ini menyukarkan tugas pihak pembelaan dalam melaksanakan tugas mereka.

“Apa yang mungkin Yang Arif catatkan adalah tidak berguna kecuali ia disokong oleh data dan ia tidak berguna dengan tulisan di atas kertas itu.”

anwar karpal 200910 01 "Kenapa mesti Yang Arif duduk dan terdedah kepada tidak tentu arah?” soal Karpal.

Katanya, tindakan itu bagi membantu mahkamah mendapatkan gambaran dari sudut sains.

Justeru, menurut Karpal, adalah tidak adil kepada pihak peguambela jika data yang disertakan tidak menyokong kenyataan lisan dan bercanggah dengan sistem perundangan.

"Fungsi pakar (saksi) adalah mengemukakan kepada mahkamah setiap maklumat bagi menyokong keterangan dalam terma sains agar mahkamah tidak tersilap arah," kata Karpal.

Bagaimanapun Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin mencelah mengatakan saksi layak menjawab secara lisan selain tiada desakan untuk saksi mengemukakan data.

Katanya  tugas pakar patologi HKL, Dr Siew hanya untuk mengambil sampel dan mengenalpasti kecederaan dan bukan mengenalpasti data.

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS