Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ekonomi M'sia boleh tumbuh 6%, kata PM
Diterbitkan:  Nov 22, 2010 12:38 PM
Dikemaskini: Nov 23, 2010 2:15 AM

Ekonomi Malaysia boleh melangkaui pertumbuhan enam peratus tahun ini meskipun persekitaran luar yang mencabar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kita bermula dengan enam peratus, jadi kita akan melangkui enam peratus. Malah, kebanyakan penganalisis menjangka tujuh peratus atau lebih sedikit daripada tujuh peratus tahun ini," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Ketua-ketua Perniagaan Global 2010 di Kuala Lumpur hari ini.

Mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga, yang bakal diumum kemudiannya hari ini, beliau berkata:

"Saya tidak mahu mencuri perhatian kerana pengumuman akan dibuat. Saya tahu angkanya.

"Pada suku kedua, kita jangka pertumbuhan kita masih boleh kita pertahankan tetapi kadarnya menurun sedikit kerana persekitaran luar, maknanya pertumbuhan sektor pembuatan bergantung kepada permintaan daripada negara-negara maju.

"Ekonomi mereka tidak tumbuh dengan kadar yang begitu memberangsangkan sebab itu angka kita berhubung dengan sektor pembuatan, tidak tumbuh begitu tinggi," katanya ketika mengulas sama ada pertumbuhan ketiga akan lebih baik berbanding suku ketiga.

Bagaimanapun, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pada keseluruhannya, unjuran pertumbuhan tahun ini berjaya melepasi sasaran yang telah ditetapkan.

 Mengenai perkembangan bahagian kedua Model Baru Ekonomi(MBE), Najib berkata ia akan dikeluarkan tidak lama lagi.

"Kami mahu memastikan inisiatif pembaharuan strategik (SRI)... ia menyentuh pertimbangan dasar utama, jadi perlu dikaji dengan teliti supaya apabila laporan dikeluarkan, kerajaan boleh menerima cadangan itu," kata beliau.

"Walaupun ini hanya cadangan dan tidak wajib bagi kerajaan menerimanya, laporan itu perlu seiring dengan apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan," kata Najib.

"Adalah penting SRI dilaksanakan kerana ia merupakan satu lagi perkara penting bagi model baru ekonomi," katanya.

Beliau berkata Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan SRI merupakan pembolehlaksana bagi transformasi MBE dan walaupun orang lebih menumpukan kepada projek ETP, ia sama pentingnya yang SRI juga dilaksanakan oleh kerajaan.

--Bernama

ADS