Keputusan akhir pemilihan PKR tidak mengejutkan apabila Azmin Ali memenangi kerusi timbalan presiden parti itu dengan majoriti besar.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diperoleh Malaysiakini , Azmin mendapat 19,212 undi berbanding pencabarnya Mustaffa Kamil Ayub yang cuma mendapat 4,567 undi.
Keputusan itu berdasarkan 214 daripada 222 cabang PKR yang berjaya mengadakan pemilihan untuk memilih pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.
Begitu juga dalam persaingan kerusi nombor tiga apabila dimenangi oleh ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.
Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diekori oleh ahli parlimen Batu Tian Chua, ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mansor Othman.
Berbanding keputusan minggu sudah, exco Selangor berjaya memintas ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan di tempat kelima.
Malangnya, hanya empat kerusi sahaja diperuntukkan untuk pemilihan naib presiden.
Berikut jumlah bagi tujuh calon teratas:
- Nurul Izzah - 13,170
- Tian Chua - 11,460
- Fuziah - 8,891
- Mansor - 8,477
- Xavier - 6,984
- Gobalakrishnan - 6,721
- Yahya Sahri - 6,436
Sebanyak 17 calon bertanding merebut jawatan itu.
Keputusan rasmi akan diumumkan dalam kongres PKR di Petaling Jaya minggu depan.
Keputusan ini bermakna, kecuali Tian Chua, semua naib presiden yang terpilih merupakan muka baru.
Buat pertama kali juga, terdapat penyertaan wanita mengisi kerusi nombor tiga itu, bahkan bukan satu, tetapi dua wakil.
Bagaimanapun, tiada kaum India terpilih mengisi jawatan itu walaupun mereka dikatakan mewakili 35 peratus daripada keseluruhan anggota PKR.
Satu-satunya penyandang yang mempertahankan jawatan itu R Sivarasa yang juga anggota parlimen Subang tewas kali ini.
Bagaimanapun, masih terdapat dua kuota lantikan untuk kerusi itu.
Bagi pemilihan sayap Pemuda dan Wanita, difahahamkan dua penyandangnya Shamsul Iskandar Md Akin dan Zuraida Kamaruddin berjaya mempertahankan masing-masing.