Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB alukan SPRM siasat Yayasan S'gor
Diterbitkan:  Nov 19, 2010 7:45 PM
Dikemaskini: 12:05 PM

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyarankan supaya Datuk Seri Noh Omar menyerahkan semua bukti Yayasan Selangor 'membelanjakan lebih RM800,000 untuk majlis ulang tahunnya' kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

khalid ibrahim Abdul Khalid berkata Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani lebih tahu seharusnya menyerahkan semua bukti yang didakwa dimilikinya itu kepada SPRM bagi membantu suruhanjaya menyiasat (perbelanjaan) Yayasan Selangor.

   

"Saya juga ada jumpa dia (Noh) di masjid tadi dan isu ini juga masih dalam penyiasatan jadi saya tidak boleh mengulas lanjut," katanya kepada pemberita selepas majlis gotong royong dan doa selamat pembinaan Masjid Baru Pekan Jeram, di Kuala Selangor hari ini.  

Mengulas mengenai pejabat yayasan itu didatangi SPRM semalam, Abdul Khalid berkata itu tugas SPRM dan selaku pengerusi yayasan berkenaan beliau sedia memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.   

noh omar "Saya juga telah menghubungi pegawai di Yayasan Selangor dan meminta mereka memberikan kerjasama kepada SPRM.  

"Saya amat mengalu-alukan siasatan SPRM supaya isu ini lebih terbuka dan ia satu usaha yang baik untuk mengemaskini pentadbiran kerajaan negeri agar lebih telus dan bertanggungjawab," katanya.  

Sementara itu, Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor ketika ditemui di Tanjong Karang berkata beliau difahamkan Pemuda UMNO negeri itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya petang tadi berhubung isu yayasan itu.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran berhubung laporan itu.   

"Saya dimaklumkan kerajaan Selangor telah melantik badan audit profesional untuk meluluskan penganjuran sebarang aktiviti dan saya minta mereka dedahkan laporan perbelanjaan berkaitan isu itu (Yayasan Selangor) kepada rakyat," katanya.  

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS