Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya secara terbuka membidas Datuk Zaid Ibrahim kerana menimbulkan masalah dalam parti itu yang telah memberikannya pelbagai peluang dan keistimewaan.
Bercakap kepada pemberita di kediamannya di Cherok To' Kun, Pulau Pinang, Anwar berkata Zaid bebas untuk berundur dari PKR dan berhak mendirikan parti baru yang dicadang dinamakan 'Keadilan Baru'.
Menurut Anwar zaid merayu diterima masuk ke parti itu apabila beliau meninggalkan Umno pada 2008. Katanya, Zaid kemudian memohon peranan sebagai pemimpin dalam parti itu.
"Beliau juga minta dijadikan calon untuk Hulu Selangor (pilihan raya kecil parlimen) meskipun mendapat tentangan dari cabang yang membawa bantahan mereka kepada presiden.
"Tetapi kami tetap berinya peluang dan apabila beliau kalah di Hulu Selangor, kita berinya peluang mempin PKR Wilayah Persekutuan,” kata Anwar.
Ketua pembangkang itu juga secara sinis berkata beliau jangkakan Zaid tidak akan menghadapi banyak karenah dalam mendaftarkan parti barunya itu kerana akan mendapat restu Umno.
"Kita tidak akan dapatnya (kelulusan segera) tetapi mereka yang disukai oleh Umno boleh. Seperti mana PERKASA dapat,” katanya.
Ditanya sama ada Zaid perlu atau boleh terus berperanan sebagai penyelaras PKR, Anwar berkata Zaid sebenarnya tidak pernah dilantik ke jawatan berkenaan.
"Jika dia mendakwa memegang jawatan itu, itu soal lain, saya tidak mahu berbalah dengannya dalam soal ini (kerana) sehingga hari ini semua mesyuarat parti masih lagi dipengerusikan oleh saya sendiri," katanya selepas menghadiri majlis korban di Masjid Tok Kun di Permatang Pauh.
Menurut Anwar, PKR sudah berulang kali menjelaskan mengenai perkara itu tetapi media masih menggunakannya.
"Dia juga menggunakan rakan-rakan medianya untuk mempromosikan dirinya sebagai penyelaras PKR tetapi sebulan yang lepas apabila Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali, membuat semakan, tiada lantikan jawatan itu kepadanya," kata Anwar.