Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lagi 'ketegasan' pada anak syarikat S'gor
Diterbitkan:  Nov 18, 2010 4:30 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Selepas kontroversi perbelanjaan mewah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan yayasan negeri, kerajaan Selangor kini lebih 'bertegas' terhadap anak syarikatnya.

Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengarahkan semua anak syarikat negeri mendapatkan kelulusan Perbadanan Menteri Besar (MBI) terlebih dahulu sebelum menganjurkan sebarang aktiviti, termasuk sambutan perayaan atau ulang tahun.

NONE Katanya, ini ekoran kerajaan negeri sedang mengemaskini perjalanan anak syarikat dan agensi kerajaan secara holistik bagi memastikan pengurusan dibuat dengan telus, bertanggungjawab dan cekap.

"Kelulusan tersebut termasuk antara lain (melibatkan) kelulusan belanjawan bagi penganjuran majlis, senarai jemputan dan aturcara.

"Dengan cara ini, kerajaan negeri dapat memantau penganjuran aktiviti oleh anak-anak syarikat seterusnya dapat mengawal perbelanjaan supaya ia munasabah dengan majlis itu bagi mengelak pembaziran wang rakyat," katanya.

Keputusan itu dipercayai ekoran kontroversi perbelanjaan PKNS dan Yayasan Selangor.

azlan Yayasan itu kini disiasat ekoran perbelanjaan RM300,000 untuk majlis ulang tahunnya yang menyebabkan Sultan Selangor membatalkan kehadiran.

Manakala semua aktiviti membabitkan Jabatan Perhubungan Awam PKNS pula dibekukan ekoran dakwaan salah guna kuasa, termasuk tajaan jamuan majlis perkahwinan angkasawan negara yang dilaporkan bernilai lebih setengah juta ringgit.

Dalam kenyataan hari ini, Khalid berkata, anak syarikat akan hanya dibenarkan melantik syarikat pengurusan acara jika benar- benar perlu, dengan alasan yang kukuh dan melibatkan perbelanjaan yang tidak keterlaluan serta setimpal.

Bagaimanapun, menurut Khalid lagi, perkara itu tidak digalakkan sebaliknya anak syarikat dicadangkan menggunakan tenaga kerja dan kakitangan sedia ada.

"Kerajaan negeri berpendapat cara ini sudah tentu akan menjimatkan lagi perbelanjaan dan wang yang dijimatkan ini dapat disalurkan ke tempat atau kepada individu yang sepatutnya sejajar dengan konsep Merakyatkan Ekonomi Selangor dan Hasil Negeri untuk Rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS