Perubahan dalam kepimpinan Umno akan dilakukan di peringkat tertentu supaya parti itu lebih bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum kelak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Saya sedang memikirkan... (sebelum ini) tergendala dua minggu sebab saya kena penyakit. Selepas ini, saya sudah bekerja seperti biasa dan saya akan beri tumpuan," katanya.
Najib pada awal bulan ini diserang penyakit cacar atau demam campak dan terpaksa bercuti rehat.
Pada Perhimpunan Agung Umno bulan lalu, beliau yang juga Presiden Umno berkata perubahan dalam kepimpinan Umno di peringkat tertentu supaya parti itu lebih bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum kelak, akan diumumkan apabila sampai masanya.
Ditanya sama ada rombakan Kabinet akan dilakukan, Perdana Menteri berkata: "Takkan saya hendak beritahu. Rombakan Kabinet tidak akan diberitahu. Kalau tiada...tiada, kalau ada...ada".
Najib berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sidang video bersama masyarakat dan penuntut Malaysia di enam buah negara, di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya hari ini. Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Rombakan terakhir
Kali terakhir jemaah menteri dirombak adalad pada 1 Jun lalu. Ia rombakan kabinet pertama Najib setelah mengambil-alih teraju negara pada April tahun lalu.
Bagaimanapun rombakan berkenaan tidak banyak membabitkan pemimpin Umno. Sebaliknyanya, rombakan itu adalah untuk disesuaikan dengan perkembangan politik di kalangan ahli komponen BN, khususnya, MCA, MIC, Gerakan dan PBB.
Dalam rombakan itu, Datuk Seri Ong Tee Keat yang tewas pada pemilihan MCA pada MAC lalu digugurkan sebagai Menteri Pengangkutan.
Najib pada rombakan itu juga juga menamakan lima senator dan dua anggota parlimen sebagai timbalan menteri persekutuan yang baru.
Rombakan kabinet kali ini juga dilihat sebagai peluang terakhir bagi ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyertai kabinet sebelum pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan tahun depan.
Khairy tidak dilantik menganggotai kebinet apabila Najib mengambil alih pentadbiran April lalu, sedangkan Datuk Mukhriz Mahathir yang mencabarnya bagi jawatan nombor satu pergerakan itu, mengisi jawatan timbalan menteri.
Selain itu, naib ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ismail juga dilantik sebagai timbalan menteri.