Naib Presiden PKR Mustaffa Kamili Ayub hari ini mengulangi desakan supaya pemilihan PKR ditangguhkan kerana 'kelompongan' dalam pengurusan pemilihan parti itu didakwa masih berterusan.
Katanya, terdapat beberapa aduan tambahan sedang dibuat, termasuk oleh beberapa calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang memfailkan kes khusus untuk disiasat.
"Ingin ditegaskan bahawa saya meneruskan bertanding jawatan timbalan presiden dalam protes," katanya yang mencuba nasib kerusi timbalan presiden.
"Dalam erti kata (lain), kita masih sangsi dengan perjalanan pemilihan yang ada, namun demi menyelamatkan perjuangan dan parti serta keadaan, saya meneruskan pertandingan."
Sebelum ini, Mustaffa pernah membuat gesaan yang sama dalam sidang media di rumah Datuk Zaid Ibrahim - bekas calon jawatan sama - di Petaling Jaya.
Walaupun berkata akan mengambil "tindakan tegas, Mustaffa sebelum inu meneruskan hasrat bertanding setelah diberikan "tiga komitmen" oleh Pengerusi JPP Dr Molly Cheah.
Dalam satu kenyataan hari ini, mendakwa mewakili sejumlah anggota PKR, Mustaffa menggesa penangguhan itu dilakukan bagi memberi masa supaya aduan dan bantahan ditangani; melakukan penambahbaikan dalam Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan urusan logistik.
"Dalam masa yang sama mengambil tindakan tegas dalam membetulkan dakwaan dan tanggapan meluas campurtangan pimpinan tertentu memperalatkan JPP.
Aktivis beliau dan NGO Islam itu berkata, bukan sesuatu yang aib bagi pucuk pimpinan PKR mendengar keluhan akar umbi itu.
"Malahan rakyat Malaysia akan melihat betapa kepimpinan PKR benar-benar peka dengan sebarang permasalahan, bermula dengan pengendalian persoalan dalaman dan kemudiannya keluhan rakyat keseluruhannya," tambah Mustaffa.
"PKR sewajarnya benar-benar tampil mewakili aspirasi rakyat serta menawarkan model yang terbaik kepada rakyat Malaysia termasuk proses pemilihan parti yang demokratik dari segi konsep serta perlaksanaannya."
Selepas selesai 165 cabang Ahad lalu, Mustaffa ketinggalan dengan 11 ribu undi di belakang seorang lagi Naib Presiden Azmin Ali.