Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah dengar permohonan Zambry Isnin
Diterbitkan:  Nov 16, 2010 6:05 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar pada Isnin, permohonan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, bagi memasukkan penghakiman terhadap Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga pihak lain, dalam saman fitnah RM100 juta terhadap mereka.

Penolong Pendaftar Kanan, Noordura Mohamed Din menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas menemui pihak-pihak berkenaan hari ini.

Peguam  Zambry, Firoz Hussein Jamaluddin, memberitahu media bahawa mahkamah menjadualkan semula tarikh untuk mendengar permohonan Zambry kerana peguam defendan Ranjit Singh memohon untuk penangguhan.

Menteri Besar Perak itu memohon untuk memasukkan penghakiman mengikut Aturan 27 (Peraturan 3) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 berikutan pengakuan defendan-defendan dalam pernyataan pembelaan mereka.

Pada 25 Februari lalu, Zambry memfailkan saman fitnah menamakan Dr Wan Azizah selaku pemegang jawatan dalam PKR, Timbalan Presiden, Syed Husin Ali yang juga ketua editor Suara Keadilan; penerbit akhbar berkenaan, Pelita Koridor Sdn Bhd dan pencetak Suara Keadilan, Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Zambry berkata, artikel yang disiarkan dalam akhbar Suara Keadilan edisi 29 Disember 2009 hingga 5 Januari 2010, bertajuk "Zambry Disyaki Pengganas - Gagal masuk ke Amerika Syarikat" mengandungi perkataan berunsur fitnah yang palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan berniat jahat.

Beliau menegaskan bahawa beliau tidak dihalang daripada memasuki Amerika Syarikat, malah dibenarkan masuk ke negara itu serta diberikan pengiktirafan yang sesuai dengan kedudukan beliau sebagai menteri besar Perak.

Zambry berkata, lawatannya ke Amerika Syarikat mendapat liputan meluas media dan defendan telah menyiarkan kata-kata berunsur fitnah itu dengan sengaja.

Menteri besar Perak itu berkata, perkataan berunsur fitnah itu telah melukakan perasaannya dengan begitu mendalam, mencemarkan dengan teruk reputasi awam, peribadi dan politiknya serta membawa kepada skandal awam, kebencian dan penghinaan.

Beliau menuntut ganti rugi RM100 juta, termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, faedah lapan peratus setahun dan juga injunksi bagi menghalang defendan daripada menyiarkan perkataan berunsur fitnah itu atau sebarang perkataan berunsur fitnah yang serupa terhadapnya.

Defendan, dalam pernyataan pembelaan mereka, menyatakan bahawa permohonan maaf bertajuk “Mohon Maaf  Dr Zambry” dan penarikan balik artikel telah disiarkan dalam akhbar parti keluaran 30 Mac hingga 6 April 2010.

- Bernama

ADS