Tindakan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim, untuk keluar dari parti itu memang telah dijangka, kata bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Saya tidak terkejut, dulu pun masa dalam Umno dan diberi peluang menjadi menteri tetapi tiba-tiba dia (Zaid) mengambil keputusan untuk meletak jawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Aprisiasi Sekolah Menengah Sains Kepala Batas (SMSKB) di Kepala Batas, hari ini.
Beliau berkata, penyertaan Zaid dalam PKR semata-mata untuk mengejar jawatan tinggi dan bukan bertujuan memimpin parti itu menjadi sebuah parti politik yang baik dan disegani.
"Dia cuba hendak mencapai jawatan yang lebih tinggi, tetapi tidak dapat, kemudian melepaskan semua jawatan dan tinggal PKR, kalau dia suka PKR patutnya dia pimpin PKR tetapi nyata sekali dia tidak suka PKR," katanya.
Ditanya pandangannya sama ada Umno akan membuka pintu semula kepada Zaid, Abdullah berkata: "Itu terpulang kepada Umno...".
Akhbar tempatan semalam melaporkan Zaid mengesahkan akan meninggalkan PKR, bagaimanapun notis rasmi berhubung keputusannya itu belum diserahkan kepada ibu pejabat parti.
Pada 8 November, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengumumkan keputusannya untuk menarik diri dari bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR selain melepaskan semua jawatan dalam parti itu.
Keesokannya, beliau menggesa Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Azmin Ali supaya berundur kerana mendakwa mereka berdua adalah punca segala masalah dalam parti.
Zaid yang sebelum ini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri meletakkan jawatannya pada September 2008 kerana membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa Abdullah menjadi perdana menteri.
- Bernama