Walaupun sebelum ini mesyuarat agung tahunan (MATC) beberapa cabang PKR di Selangor diselubungi kekecohan, tetapi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini berlangsung sebaliknya.
Sebanyak lima cabang - Kuala Langat, Kota Raja, Kapar, Subang dan Petaling Jaya Selatan (PJS) - perjalanan proses pengundian berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Malah suasananya seperti majlis jamuan.
Di cabang Subang, anggotanya dihidangkan bihun goreng, jus anggur dan jus oren sebelum menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Tinjauan Malaysiakini mendapati, ramai anggota daripada pelbagai kaum turut menikmati hidangan yang disediakan sehinggakan sebesen bihun habis licin.
Malah dua pondok panas dipasang di sebelah pintu masuk Dewan Serbaguna Sekyen 7 Kota Damansara bagi membolehkan semakan keahlian dilaksanakan di samping penyokong kumpulan yang bertanding mengedarkan 'chai' mereka masing-masing.
Kelihatan juga penyokong turut mengedarkan 'chai' kepada pengundi sewaktu mereka berbaris sebelum memasuki pusat pengundian berkenaan.
Malah, poster-poster calon MPP turut dilekat di dinding bangunan berkenaan sebagai usaha kumpulan masing-masing berkempen di saat-saat akhir.
Tinjauan Malaysiakini di cabang Petaling Jaya Selatan pula mendapati, sebanyak 30 meja disediakan bagi membolehkan anggota memangkah calon pada kertas undi yang diawasi oleh kira-kira 10 pengawas.
Manakala pintu masuk menuju ke pusat berkenaan dikawal kira-kira lima pengawal khas yang dikenali sebagai 'Skuad Khas PJS'.
Di luar kawasan pusat pengundian, sebanyak tujuh pondok panas dibuka diluar pusat pengundian - yang terletak kira-kira 10 meter - dari tempat mengundi.
Kelihatan juga penyokong dari kumpulan masing-masing mengedarkan 'chai' berkempen diberikan kepada pengundi sebelum memasuki pusat pengundian.
Pelbagai poster dan kain rentang dari kumpulan 'Sinar Harapan Baru' dan 'Team Mantap' di pasang di sekitar kawasan berkenaan.
Ibu pejabat parti mengarahkan cabang berkenaan mengadakan pemilihan cabang serentak dengan pengundian MPP hari ini.