Mesyuarat pemilihan bagi memilih Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di tiga daripada empat cabang yang mengadakan mesyuarat hari ini dilaporkan sebahagian besar pengundi tidak hadir bagi membuat pemilihan itu.
Tiga cabang itu iaitu di Machang, Gua Musang dan Jeli, pengundi dilaporkan tidak hadir itu selain dipercayai penyokong Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang baru-baru ini telah menarik diri bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dan juga kerana hujan yang dijadikan alasan ketidakhadiran itu.
Setiausaha Cabang PKR Machang, Mohd Jafri Manan berkata sehingga tamat tempoh memilih pada pukul 5 petang ini, sebahagian besar 1,300 anggotanya tidak hadir mesyuarat bagi membuat pemilihan itu.
"Sebahagian besar pengundinya adalah terdiri kalangan Angkatan Muda yang dilaporkan tidak hadir kerana merupakan penyokong Datuk Zaid Ibrahim," katanya kepada pemberita di Machang, hari ini.
Beliau berkata bagaimanapun mesyuarat cabang itu berlangsung dalam keadaan baik tanpa sebarang kekecohan.
Ketua Cabang PKR Jeli, Mat Sulaiman pula ketika dihubungi berkata hanya kira-kira 100 daripada 700 anggotanya tidak hadir pada mesyuarat yang telah memberikan alasan hujan penyebab tidak hadir.
"Keadaan mesyuarat berlangsung aman walaupun hanya kira-kira 100 orang sahaja yang hadir daripada 700 orang sepatutnya. Mereka memberikan alasan hujan kerana tidak hadir dan tidak ada pula disebabkan masalah lain," katanya.
Keadaan yang sama juga berlaku di mesyuarat cabang Gua Musang yang sebahagian besar daripada 2,179 anggota tidak hadir dengan turut memberikan alasan hujan untuk tidak hadir.
Ketua cabangnya Hanafi Abdullah berkata hujan yang berlaku di situ terutama anggotanya yang tinggal di kawasan pedalaman agak sukar untuk hadir pada mesyuarat tersebut.
Mesyuarat bagi cabang Kuala Krai bagaimanapun berbeza apabila dilaporkan hampir semua anggotanya hadir membuat pemilihan.
Terdapat 14 cabang PKR di Kelantan dengan 10 daripada cabang itu telah selesai membuat pemilihan pada dua minggu lalu.
Beberapa kekecohan juga dilaporkan berlaku di beberapa mesyuarat cabang sebelum ini seperti campur tangan pemimpin dan juga kelewatan mesyuarat disebabkan berlaku masalah teknikal.
--Bernama