Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bapa isu sosej babi akui bukan Islam lagi
Diterbitkan:  Nov 12, 2010 10:40 AM
Dikemaskini: 4:30 AM

Beginda Minda, bapa kepada pelajar 10 tahun yang dirotan baru-baru ini kerana membawa sosej babi ke sekolah mendakwa bahawa beliau bukan beragama Islam, lapor The Star .

“Saya akui, saya pernah memeluk Islam sebelum ini. Tetapi pada 1999, saya sudah tukar agama. Sekarang saya bukan Islam,” kata Beginda, semalam.

Status agama lelaki itu menjadi kontroversial apabila isu merotan anaknya timbul.

nazri abdul aziz Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah menentukan  status agama Beginda.

“Hanya selepas itu, kesimpulan boleh dibuat mengapa anaknya itu dirotan,” kata Nazri.

Perdebatan dan pertikaman lidah berlarut di Dewan Rakyat sejak dua hari lalu sama ada anaknya, Basil - yang dipelihara oleh ibunya yang beragama Kristian - adalah seorang Muslim.

Namun menurut Beginda, anaknya itu bukan beragama Islam.

NONE “Anak saya beragama Kristian. Dia dibesarkan mengikut agama ibunya,” katanya.

Beginda berkata pada tahun 2004, apabila dia memohon MyKad, beliau telah menukar namanya semula kepada Beginda Anak Minda.

Anaknya dilahirkan pada 8 Mei 2000.

Di sijil kelahirannya, tiada agama dicatatkan untuk Beginda.

Semalam, ahli parlimen Bebas, Zulkifli Noordin menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya menyiasat kemungkinan bapa kanak-kanak yang dirotan itu mempunyai dua identiti.

zulkifli noordin Ahli parlimen Kulim-Bandar Baru itu, pada Rabu lalu mendakwa kanak-kanak itu adalah anak seorang Muslim bernama Norazman Abdullah @ Beginda anak Minda.

Beliau membayangkan kemungkinan Beginda murtad kerana dia telah didakwa mempunyai dua nama yang berlainan.

Katanya, Beginda yang dikatakan bapa kepada pelajar tersebut - pada tahun 1998, sewaktu kes Datuk Seri Anwar Ibrahim - namanya adalah Norazman Abdullah @ Beginda Minda dan beragama Islam.

Zulkifli berkata, sijil perkahwinan dikeluarkan pada 29 Julai 2009 sedangkan perkahwinan berlangsung pada 25 Disember 1999 iaitu setahun selepas kes Anwar, ketika Beginda seorang Islam.

Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, jika seseorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anak itu juga semestinya beragama Islam.

NONE Basil dirotan 10 kali di tapak tangannya kerana memakan nasi goreng dengan sosej babi yang dibekalkan oleh ibunya.

Isu itu kali pertama didedahkan pada sidang media yang dianjurkan oleh PKR di Kuching di mana Angela Jabing, ibu kepada pelajar Sekolah Rendah St Thomas itu mendakwa seorang guru merotan anaknya kerana membawa makanan tidak halal ke sekolah.

Sekolah berkenaan kemudian memohon maaf kepadanya.

 

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS