Kelantan mahukan pandangan pakar-pakar seni budaya berhubung beberapa seni budaya yang diharamkan persembahannya di Kelantan sejak PAS memerintah negeri, bagi membolehkan pengharaman itu dikaji semula.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan Dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata masalahnya sehingga kini tidak ada mana-mana pakar seni budaya yang tampil untuk berbincang dan memberikan pandangan mengenai perkara itu.
"Sehingga itu kerajaan tetap mengharamkan seni berkenaan kerana pandangan ulama mengenai perkara ini masih terpakai," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.
Sejak PAS memerintah Kelantan pada 1990, kesenian Makyong, Menora dan Main Puteri diharamkan daripada dipersembahkan kepada umum atas faktor mengandung unsur khurafat dan percampuran antara lelaki dan perempuan.
Dikir barat yang pernah diharamkan sebelum ini bagaimanapun dibenarkan semula untuk dipersembahkan kepada umum kerana persembahan itu tidak lagi mengandungi perkataan lucah seperti sebelumnya dan dalam persembahan di khalayak ramai, tempat duduk penonton lelaki dan perempuan diasingkan.
Sementara itu Takiyuddin berkata kerajaan negeri bercadang untuk membina Muzium Wau di satu lokasi di Pantai Irama Bachok selewat-lewatnya tahun depan.
"Lokasi di Pantai Irama itu sesuai dibina muzium itu kerana tempat itu juga sesuai untuk diadakan persembahan dan pertandingan wau sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.
Sementara itu persidangan Dewan dimaklumkan bahawa kerajaan negeri akan membina sebuah litar lumba motosikal bagi membolehkan peminat acara sukan itu berlumba secara sah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan Dan NGO Negeri, Ab Fattah Mahmood yang menjawab soalan Dr Nik Mazian Nik Mohamed (PAS-Gaal) berkata satu lokasi di Bachok dicadangkan bagi tujuan itu selepas cadangan asal di Tanah Merah tidak dapat dilaksanakan.
Masalah papan markah yang daif di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV turut mendapat perhatian apabila Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub yang juga Pengerusi Perbadanan Muzium Kelantan mengumumkan pihaknya memperuntukkan RM1 juta bagi menggantikannya dengan penggunaan papan markah elektronik.
Beliau yang menjawab soalan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjung Mas) berkata, perbadanan itu memperuntukkan hampir RM2 juta untuk menaik taraf stadium tersebut.
- Bernama