Seramai 90,301 pelarian kini berada di Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNCHR) sehingga September tahun ini.
Timbalan Menteri Luar Datuk A Kohilan Pillay berkata Malaysia bekerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi UNCHR dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dalam penghantaran pulang orang pelarian ke negara asal atau penempatan semula ke negara-negara ketiga yang mahu menerima mereka.
Beliau berkata setakat ini seramai 49,082 orang pelarian telah dihantar ke negara ketiga dengan UNCHR sebanyak 68 peratus dan IOM sebanyak 32 peratus, katanya menjawab pertanyaan Hamim Samuri (BN-Ledang) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Hamim dalam pertanyaannya ingin tahu jumlah pelarian luar negara yang masih berada di negara dan penyelesaian untuk jangka masa pendek dan panjang serta bentuk kerjasama yang diberikan oleh negara-negara seperti Kemboja, Vietnam, Thailand dan sebagainya.
Kohilan berkata isu-isu berkaitan orang pelarian belum pernah dibangkitkan oleh negara-negara sumber seperti Kemboja, Vietnam, Filipina dan Thailand semasa perbincangan dua hala dengan Malaysia.
"Bagaimanapun, pihak kedutaan negara-negara tersebut lazimnya akan membantu dalam proses dokumentasi orang pelarian untuk penempatan semula ke negara ketiga," katanya.
Menjawab soalan tambahan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) mengenai dakwaan Malaysia menggalakkan eksploitasi terhadap orang pelarian itu, Kohilan berkata UNCHR dan IOM merupakan badan yang bertanggungjawab terhadap orang pelarian yang berdaftar dengan mereka dalam memberikan perlindungan, makanan dan sebagainya.
Bagaimanapun, katanya Malaysia juga ada memberi bantuan daripada segi bantuan kesihatan seperti pekerja asing di negara ini dan menyediakan program pembelajaran kepada mereka.
Beliau berkata oleh kerana tiada undang-undang khas bagi orang pelarian di negara ini, isu pelarian adalah tertakluk di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) di mana semua orang pelarian dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).
- Bernama