Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Terengganu dijangka alami banjir besar
Diterbitkan:  Nov 10, 2010 5:52 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Terengganu dijangka mengalami banjir besar bulan ini atau bulan depan sekiranya hujan turun melebihi paras normal.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana (JPBB) Terengganu, Datuk Mazlan Ngah, berkata Jabatan Meteorologi meramalkan Terengganu akan mengalami jumlah taburan hujan 20 hingga 40 peratus melebihi paras normal pada musim tengkujuh sehingga Mac tahun depan akibat kesan Fenomena La Nina.

"Ia boleh menyebabkan berlaku beberapa episod hujan lebat serta bencana banjir di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu hari ini.

Mazlan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan beberapa kejadian air pasang besar diramal akan berlaku di Terengganu dalam tempoh seminggu dua ini.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenalpasti 198 kawasan yang sering dilandar banjir di negeri ini.

Di Besut, katanya terdapat 30 kawasan, Setiu (21), Kuala Terengganu (17), Marang (27), Hulu Terengganu (29), Dungun (32) dan Kemaman (42).

Sebagai persediaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri telah menyediakan sejumlah 341 pusat pemindahan yang berupaya menampung seramai 48,807 orang mangsa banjir dalam sesuatu masa.

Pusat itu ialah di Kuala Terengganu 27 buah, Kemaman (36), Dungun (52), Besut (98), Hulu Terengganu (73), Marang (23) dan Setiu (32) buah.

Dalam masa sama, JKM telah mengenalpasti sebanyak 121 pangkalan hadapan di seluruh negeri iaitu Kuala Terengganu (3), Kemaman (16), Dungun (10), Besut (22), Hulu Terengganu (33), Marang (15) dan Setiu (22).

Mazlan berkata, bilik gerakan banjir negeri akan dibuka 24 jam apabila banjir berlaku lebih dari satu daerah, manakala bilik gerakan daerah pula akan dibuka sebaik banjir melanda daerah berkenaan.

 - Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS