Akar umbi PKR berpendapat pengunduran Datuk Zaid Ibrahim daripada persaingan merebut jawatan timbalan presiden mungkin menyebabkan peratusan keluar mengundi dalam pemilihannya lebih merosot.
Seorang pemimpin daripada cabang Kimanis berpendapat, keadaan tersebut mungkin berlaku kerana pemenangnya dilihat sudah ada, iaitu Azmin Ali yang kini merupakan naib presiden.
"Lagi pun, jurangnya (antara calon bertanding) semakin jauh," kata pemimpin cabang di Sabah itu yang mahukan namanya dirahsiakan.
Selepas 87 cabang bermesyuarat, Azmin semakin jauh di depan dengan majoriti 2,479 undi meninggalkan Zaid dan seorang lagi pesaing Mustaffa Kamil Ayub.
Bagaimanapun, tidak puas dengan perjalanan pemilihan langsung PKR yang julung kalinya diadakan itu, Zaid semalam menarik diri dan melepaskan semua jawatannya dalam parti.
Manakala Mustaffa juga berkemungkinan besar mengambil tindakan yang sama beberapa hari lagi.
Ramai sebab yang ada perlu undi
Ketika di hubungi Malaysiakini semalam, pemimpin kanan PKR Kimanis itu berkata, faktor geografi kawasan yang mana terdapat banyak kawasan pedalaman juga menyebabkan peratusan keluar mengundi rata-rata rendah di negeri itu.
"Cuma yang banyak di sesetengah tempat mungkin kerana ada orang (calon) yang memerlukan undi mereka," katanya penuh berahsia, sambil ketawa kecil.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Sabah Jonathan Yasin pula berpendapat, banyak anggota PKR negeri memberikan undi kepada Azmin memandangkan peranannya yang lama dalam parti.
Lagi pun, menurut Jonathan, mereka percaya Zaid tidak diketepikan kerana telah dilantik jawatan tinggi dalam parti sebagai anggota biro politik - biro paling berpengaruh dalam PKR.
Sementara itu, mengulas sokongan kepada Zaid di Sabah - yang dilihat sebagai antara faktor membuatkannya 'merajuk' - Jonathan yang juga ketua PKR Ranau berpendapat sokongan yang diperoleh mereka merupakan refleksi kepada pencalonan dahulu yang mana Azmin di depan.
"Dahulu ada orang gembar-gemburkan Zaid disokong oleh 21 cabang. Akhirnya perkara ini terjawab bahawa ia tidak benar," katanya sambil menyifatkan "orang tertentu" itu sebagai mahu mengambil kesempatan.
'Penjaga sokongan'
Sementara itu, bekas ketua cabang PKR Tenom Gosibin Yasundang pula ketika dihubungi berkata, bagi akar umbi di Sabah, Azmin dan Zaid sama-sama diterima.
"(Walaupun undi Azmin) Kami juga mahu Zaid," katanya sambil berkata memberikan sokongan kepada Azmin kerana "ada yang menjaganya (sokongan itu)".
"Lagi pun ketika pemilihan, Azmin ada di Tenom. Zaid pula orang tak berapa kenal sebab jarang turun ke pedalaman."
Setakat ini, PKR masih bergelut dengan peratusan keluar mengundi yang rendah dalam pemilihannya apabila hanya 9 peratus keluar pada minggu pertama dan 12 peratus pada minggu kedua.
Parti itu mempunyai kira-kira 400,000 anggota di seluruh negara.