Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS terus mengasak isu berkaitan peneroka dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu-isu berkaitan Felcra, antaranya projek ladang getah di sebuah pulau di Sabah yang didakwa bernilai RM167 juta.

NONE Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Mazlan Aliman membuat laporan itu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Menurut Mazlan ( kanan ), beliau mengadu supaya SPRM menyiasat projek agropolitan di Pulau Banggi, Kudat itu kerana disyaki terdapat unsur penyelewengan, antaranya didakwa dibuat dengan tergesa-gesa tanpa memgambil kira kesesuaiannya.

"Saya pergi ke sana sendiri pada 26 Oktober lepas, saya ambil gambar, pokoknya masih kecil. Sepatutnya selepas tiga tahun ditanam, ia sudah sebesar paha.

"Ini macam tak cukup zat," katanya sambil memberitahu menyerahkan gambar berkenaan kepada SPRM sebagai bahan bukti.

NONE Mazlan - yang membuat laporan itu atas nama Badan Bertindak Bagi Warga Felcra (BAPA) - mendakwa tiada kajian terperinci dibuat selepas projek di atas tanah seluas 2,000 ekar itu dimulakan pada tahun 2006 lalu.

"Sepatutnya kena ambil kira kemasihan tanah, tiupan angin dan penempatan pekerja. Ini pekerjanya duduk di pulau, tetapi pegawainya duduk di Kudat.

"Setiap hari kena naik feri untuk ke pulau," katanya sambil mempersoalkan keberkesanan tempat tersebut dipilih.

NONE Menurut Mazlan yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS, selain ladang, tanah itu turut memuatkan takungan air dan kawasan penempatan pekerja ladangnya.

Tambahnya, aduannya pada jam 11.30 pagi tadi diterima oleh Pengarah Siasatan SPRM Mustapar Ali.

Ditanya tentang dakwaaan terdapat sekurang-kurangnya 22 lagi salah laku Felcra yang ditimbulkannya sebelum ini, Mazlan berkata akan mendedahkannya sedikit semi sedikit.

"Kita mahu beri peluang SPRM menjalankan tugasnya dengan selesa," kata Mazlan yang terkenal kerana banyak 'membongkar' isu melibatkan peneroka kelapa sawit di Felda sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS