Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MMA: Pendapatan doktor merosot
Diterbitkan:  Nov 9, 2010 5:13 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Pengamal perubatan am yang pernah dianggap sebagai golongan profesional berpendapatan tinggi di negara ini kini merosot pendapatan berikutan jumlah pesakit yang semakin berkurangan, demikian menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Rencana pengarang terbaru buletin terbitan persatuan itu menyatakan trend itu membimbangkan kerana profesion itu mungkin pupus pada satu masa nanti hingga pesakit menghadapi kesukaran mendapatkan rawatan.

Menurutnya, pengamal perubatan am di Malaysia adalah amalan pilihan yang laris dan banyak doktor meninggalkan perkhidmatan kerajaan untuk menyertai sektor swasta sebaik sahaja perkhidmatan wajib mereka selesai.

“Seorang pengamal perubatan am terkenal di Lembah Klang boleh melihat lebih daripada 150 pesakit sehari semasa waktu yang baik tetapi sekarang ia turun kepada kira-kira 20 orang.

“Walaupun kerajaan berusaha menyelamatkan keadaan dengan menyediakan banyak rancangan rawatan utama melalui klinik 1Malaysia dan 1Jagaan, tapi kita bimbang bahawa amalan pengamal perubatan am ini tidak mendapat peluang dalam sistem baru ini.

"Oleh itu, pesakit yang mampu membayar rawatan kesihatan perlu mempunyai akses ke pusat rawatan kesihatan swasta pada kos yang berpatutan,” menurut rencana pengarang itu.

Satu lagi trend membimbangkan yang dikesan MMA adalah hospital swasta juga akan mengalami nasib yang sama dalam soal mendapatkan pembayaran balik berikutan kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat.

“Premium insurans mungkin dinaikkan pada masa depan menjadikan pesakit tidak berkemampuan dan dengan ini hospital mengalami kekurangan pelanggan.

"Keadaan ini memberi tekanan ke atas hospital kerajaan yang sudahpun mencapai hadnya," katanya.

Sehubungan itu, MMA meminta kerajaan menyelesaikan isu kewangan penjagaan kesihatan dengan segera agar orang ramai mendapat akses dengan sistem jagaan kesihatan tanpa mengira ia adalah swasta atau awam.

 - Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS