Perkataan "monyet" hangat diperbahaskan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini bila RSN Rayer (DAP-Seri Delima) menuduh mereka yang membuat demonstrasi depan bangunan DUN Selasa lalu menyerupai perangai haiwan berkenaan.
Pertikaman lidah itu berlaku ketika Ng Wei Aik (DAP-Komtar) sedang membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2011.
Ng berkata, kerajaan negeri sedang cuba untuk menarik pelancong asing dengan adanya projek taman tema air "Escape Water Park" di Batu Ferringhi yang dijangka siap dalam masa 18 bulan lagi.
Pada ketika itu, Rayer bangkit menimbulkan isu demonstrasi baru-baru ini yang menurutnya menyebabkan pelancong asing takut untuk melawat Pulau Pinang.
"Demonstrasi yang diketuai oleh Ketua Pemuda Umno Norman Zahalan itu mengancam pelancongan negeri. Tindak tanduk penyokong tersebut, serupa monyet yang mengoncang pintu pagar seolah-olah nak runtuhkan pagar berkenaan," katanya.
Datuk Arif Shah Omar Shah (BN-Seberang Jaya) bingkas bangun dan minta Rayer mengemukakan video bagi membuktikan bahawa penyokong demonstrasi itu diketuai oleh Umno dan bertindak seperti monyet.
Rayer menegaskan: "Kalau perbuatan menggoncang pagar itu bukan perbuatan seekor monyet, itu perbuatan siapa? Kera kah atau beruk?"
Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) cuba membantah dengan meminta dewan untuk melarang penggunaan perkataan monyet itu dalam DUN.
Tan Beng Huat (DAP-Jawi) mencelah bertanya mengapa perkataan monyet boleh digunakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil.
"Saya pernah terbaca sebuah artikel oleh Sharizat yang menyebut negeri-negeri yang diperintah pembangkang itu seperti cinta monyet, mengapa kita tidak boleh menggunakannya dalam dewan?," katanya.
Speaker Datuk Abdul Halim Hussain terpaksa melarang penggunaan perkataan berkenaan bagi meleraikan pertengkaran.
- Bernama