Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gara-gara terlalu bimbang kuil Sri Srinivasa Perumal di Pusat Bandar Puchong, Selangor akan dirobohkan, seorang lelaki bertindak nekad dengan membakar dirinya.

M Chakragunasegaran, 52 bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pihak polis serta beberapa ahli persatuan kuil yang kebetulan berada di tempat kejadian menyelamatkannya. Beliau yang dalam keadaan pengsan dikejarkan ke hospital tetapi keadaannya dilaporkan tenat.

NONE Menurut saksi, K Dharmalingam,49, kejadian itu disedari semasa beliau melakukan upacara sembahyang di kuil berkenaan pada jam 6.30 pagi ini dan terlihat berlaku kekecohan.

Beliau terlihat mangsa menjerit “Jangan roboh kuil ini,” tetapi pihak berkuasa tidak memperdulikan rayuan lelaki itu.

Dia kemudian bertindak nekad dan menyalakan api di badannya dan dilaporkan terbakar kira-kira lima minit sebelum berjaya diselamatkan.

Selesai drama itu, kerja-kerja merobohkan sebahagian daripada kuil itu yang menjadi tempat simpanan barangan kemudiannya bermula pada kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

NONE Lebih kurang 200 kakitangan terdiri daripada ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pihak polis dan Rela terbabit dalam operasi berkenaan.

Sebelum ini, notis arahan dikeluarkan oleh pada 26 Oktober lalu dengan persatuan kuil berkenaan diberi tempoh selama tujuh hari untuk berpindah bagi tujuan pembinaan sebuah tadika baru.

Dharmalingam yang juga setiausaha kuil Sri Srinivasa Perumal itu berkata, pihaknya kesal kerana pihak berwajib tidak memberi tempoh yang mencukupi bagi mereka berpindah.

"Sudah lebih 10 tahun kuil ini dibina, tanah ini merupakan tanah rezab," katanya.

Kakitangan penguatkuasa kemudian melakukan kerja memagar sekeliling kawasan tersebut.

NONE Sementara itu, ahli jawatankuasa kebajikan kuil itu, T Pukalenthy,42, berkata berdasarkan maklumat diperolehinya pihak sekolah memberi kebenaran kepada persatuan kuil untuk membina bangunan tambahan yang menjadi stor tempat simpanan barangan sejak 10 tahun dahulu.

"Perbuatan mereka merobohkan stor tersebut tidak wajar, sepatutnya mereka memberitahu pihak pengurusan kuil lebih awal," katanya.

Sementara itu, ahli majlis MPSJ, KN Michael Tamilarason berkata satu mesyuarat tergempar telah diadakan kira-kira jam 11.30 pagi tadi melibatkan wakil daripada kedua-dua belah parti politik, polis, agensi penguatkuasaan, sekolah dan persatuan kuil tersebut.

NONE Menurutnya hasil sesi perbincangan itu, pihak berwajib bersetuju untuk menangguhkan kerja-kerja merobohkan bangunan simpanan stor milik kuil berkenaan untuk seminggu lagi

"Pihak sekolah bersetuju memberi masa selama tujuh hari kepada persatuan kuil untuk memindahkan barang tersebut. Masalah ini sudah selesai," katanya kepada Malaysiakini, petang tadi.

Sementara itu, Bernama memetik Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias sebagai berkata lelaki tersebut, Chakragunasegaran, melecur di muka serta beberapa bahagian badannya dan sedang dirawat di Hospital Serdang.

"Kejadian berlaku 9.30 pagi tadi ketika lebih kurang 200 orang kakitanganMPSJ, polis dan Rela terbabit dalam operasiberkenaan, dan lelaki itu (yang) menjerit-jerit jangan roboh, jangan roboh,tiba-tiba membakar dirinya.

"Lelaki itu lalu pengsan dan diselamatkan oleh mereka yang berada ditempat kejadian, dan dikejarkan ke Hospital Serdang," katanya.

Beliau berkata polis telah membuat satu laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Puchong dan siasatan masih dijalankan.

Sementara itu, adik lelaki itu, M Alagan, 45, memberitahu bahawa abangnya bertindak demikian kerana bimbang kuil berusia 10 tahun itu akan dirobohkan pihak berkuasa.

"Apa yang saya boleh beritahu, abang saya kini masih tidak sedarkan diri dan ditempatkan di ICU (Unit Rawatan Rapi) hospital itu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS