Kerajaan sepatutnya berterus-terang dengan keadaan kesihatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa.
"Semalam, (Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri) Dr Mohd Ismail Merican berkata Perdana Menteri mungkin boleh keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.
"Walaupun kita tidak menolak kemungkinan yang dijangkakan oleh beliau, tetapi sebelum ini juga perdana menteri dilaporkan pulih agak cepat setelah dilaporkan semakin pulih selepas diberi minum air kelapa dan tempat tidurnya dialas dengan daun bambu.
"Tetapi selepas itu, tiba-tiba dilaporkan perdana menteri masuk hospital pula," kata Husam seperti dilaporkan akhbar web PAS Harakahdaily .
Sehubungan itu, Husam yang juga anggota jawatankuasa pusat PAS berkata, kerajaan perlu menyatakan perkara sebenarnya untuk mengelakkan tersebarnya khabar-khabar angin yang tidak sepatutnya.
Sementara itu, memetik Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, Bernama melaporkan kesan lesi akibat cacar air pulih dengan baik dan simptom gastritis pada Najib telah pun dapat diatasi.
Mohd Ismail berkata perdana menteri ( kiri ) dijangka dibenarkan keluar dalam beberapa hari lagi selepas dilaporkan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak Khamis untuk pemeriksaan lanjut apabila mengalami rasa tidak selesa dalam perut.
Manakala Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula memberitahu pemberita perdana menteri berada dalam keadaan baik dan stabil dengan pakar-pakar perubatan sentiasa mengawasi keadaan kesihatan beliau, lapor Bernama.
"Perdana menteri akan sembuh dalam sedikit masa lagi," kata Liow kepada pemberita selepas perasmian pusat terapi dan rehabilitasi, di Kelana Jaya.