Selepas saranan beliau supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' mengundang kritikan sebilangan pemimpin kanan PKR, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membidas sikap tidak berlapang dada pemimpin pembangkang.
Dr Mohd Asri berkata kenyataan beliau Isnin lalu itu menyebabkan terdapat pemimpin PKR yang "melenting, buruk sangka dan membuat anggapan yang bukan-bukan".
"Apabila saya menyatakan banyak dinosaur politik dalam BN dan Pakatan Rakyat yang perlu memberi ruang kepada orang lain, dan saya sebut nama YB DSAI (Anwar) sebagai contoh, seperti biasa mereka melenting, buruk sangka dan membuat anggapan yang bukan-bukan.
"Saya kata bahawa, jika tidak berlaku perubahan; momentum politik yang berkesan akan habis dan politik berkualiti akan sukar dicapai," katanya.
"Sebagai rakyat bawahan yang melihat permainan politik dalam negara ini, dengan sikap ‘buta warna parti', saya dapat rasakan sejauh manakah pertarungan itu di sudut ketangkasan dan ‘manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat'.
"Momentum sesebuah aliran politik bukan selamanya. Rakyat bukan sahaja akan terikat dengan ‘kenangan semalam', sebaliknya mereka juga terikat dengan ‘realiti hari ini' dan ‘impian masa depan'," tulisannya dalam blognya pagi ini.
Dr Mohd Asri turut meminta pemimpin Pakatan yang tidak bersetuju dengannya merujuk kepada sebuah analisis berita yang mendakwa gabungan PAS, DAP dan PKR mula hilang momentum selepas kekalahan di DUN Galas dan Batu Sapi kelmarin.
Tokoh agama itu mengingatkan, momentum sesebuah aliran politik tidak akan kekal selamanya kerana rakyat bukan sahaja akan terikat dengan ‘kenangan semalam'.
Sebaliknya, tambah Dr Asri, mereka juga terikat dengan ‘realiti hari ini' dan ‘impian masa depan'.
"Sebab itu, jangan hairan jika ‘momentum Barack Obama' boleh surut dalam hanya masa dua tahun apabila dilihat gagal merealisasikan impian rakyat seperti yang dijanjikan," katanya sambil membandingkan dengan kepimpinan presiden Amerika Syarikat itu.
Sehubungan itu, kata Dr Mohd Asri, jika perkara tersebut berterusan, Pakatan Rakyat akan hilang momentumnya disebabkan pelbagai perkara.
"Salah satunya ubat bagi saya; keperluan ‘mentajdidkan' (memperbaharui) pemain utama. Jika tidak, mungkin negara kita hilang keseimbangan politik antara pemerintah dan pembangkang!" tegasnya.
"Jika hendak jadi penguasa, kena belajar berlapang dada dengan rakyat jelata. Bukan semua yang berbeza itu menzalimi anda!"