PKR menyifatkan pandangan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyeru agar Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' adalah "manifestasi suara ketakutan pimpinan negara terhadap fenomena kebangkitan rakyat".
Malah Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR, Dr Muhammad Nur Manuty mempertahankan ketuanya dengan berkata serangan peribadi pelbagai bentuk kepada Anwar "bukanlah sesuatu yang memeranjatkan".
"Keberkesanan kepemimpinan seseorang itu tidak boleh diukur dari segi usia semata-mata.
"Hakikatnya kepemimpinan itu hendaklah dilihat dari segi karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal.
"Inilah antara sifat yang dimiliki dan dihayati oleh DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai pemimpin yang diiktiraf dan dihormati oleh kawan dan lawan dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Muhammad Nur mengulas kenyataan Dr Mohd Asri yang berkata sudah sampai masanya untuk ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' kerana banyak rentak tari politiknya makin 'tidak seimbang'.
Menulis dalam blognya Isnin lalu, di bawah tajuk 'Politik kita memerlukan anjakan baru', Dr Mohd Asri menegaskan "politik kita memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas".
Kritikan pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga turut ditolak oleh ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin yang menyifatkannya sebagao satu "kenyataan yang pelik dan tidak berpijak pada realiti politik" semasa tanah air.
Sementara itu, menjawab kritikan balas selepas saranan kerasnya itu, Dr Mohd Asri menegaskan cadangannya adalah "hak rakyat" kepada pemimpin.
Menurutnya, tegurannya itu bukan satu perkara baru kerana sebelum ini beliau pernah mencadangkan perkara sama kepada mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui sebuah pantun.
" Freedom of expression (kebebasan bersuara) yang dilaungkan oleh sesetengah pihak tidak memberi makna jika hanya mereka setuju suara mereka dan menghalang suara orang lain," coretnya dalam blog sambil menafikannya sebagai satu pandangan agama.