Sekurang-kurangnya tiga laporan polis dibuat oleh wakil DAP berhubung kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam sebuah akhbar semalam yang didakwa berunsur fitnah dan berniat jahat.
Mohd Ali dilaporkan berkata bahawa 'penasihat DAP Lim Kit Siang telah menuduh orang Umno kafir dalam siri ceramah dalam pilihan raya kecil DUN Galas.
Laporan pertama dibuat oleh pengarah jentera pilihan raya kecil Galas DAP Su Keong Siong terhadap Ali Rustam.
Laporan kedua oleh penolong setiausaha wanita DAP Leong Mee Meng terhadap penerbitan artikel oleh Berita Harian .
Laporan ketiga pula dibuat oleh setiausaha DAPSY Teo Kok Seong ke atas Naib Ketua Pemuda Umno, bahagian Putrajaya, Hisamudin Yahaya.
Hisamudin didakwa membuat laporan polis terjadap Lim Kit Siang berdasarkan kenyatan palsu dan fitnah yang dibuat oleh Ali Rustam di Gua Musang.
Semua laporan dibuat di ibupejabat polis daerah Gua Musang anatara jam 1.35 petang hingga 2.20 petang.
Berita Harian dalam laporannya semalam membidas Lim dan DAP yang didakwa semakin berani mencampuri urusan agama Islam dengan menuduh orang Umno kafir.
Akhbar itu memetik Ali Rustam sebagai berkata tindakan DAP mengkafirkan Umno itu adalah hasil ajaran pemimpin PAS yang menjual agama dan tidak menghalang apabila bukan Islam menuduh orang Melayu tidak menyokong PAS sebagai kafir.
“Yang kita sedihnya apabila Lim menuduh orang Melayu parti UMNO kafir disambut dengan laungan takbir 'Allahuakhbar' oleh pemimpin PAS bersama penyokongnya yang dianggap menjual agama Islam kepada kaum lain.”