Dewan Rakyat hari ini membenarkan usul tergempar bagi mendebatkan kekerapan kemalangan ngeri yang membabitkan bas.
Usul yang dikemukakan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) itu bagi membahaskan usul kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas di Km 38, Genting Sempah pada Jumaat lalu yang menyebabkan tujuh nyawa terkorban dan 39 lagi cedera termasuk 17 parah.
Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee menerima usul itu kerana memenuhi kriteria yang ditetapkan.
"Usul itu akan dibahaskan selama sejam bermula pukul 4.30 petang ini dan pihak pencadang diberi masa selama 30 minit untuk membahaskannya, dan 30 minit lagi untuk pihak kerajaan menjawab," katanya.