Ratusan orang hari ini beratur di pejabat MCA di Sandakan awal pagi ini apabila mendapat tahu bahawa wang RM100 akan diagihkan kepada setiap pengundi di Batu Sapi.
Kebanyakan yang beratur ini adalah masyarkat Cina yang terdiri daripda golongan berusia dan wanita. Mereka berkumpul di sekitar tangga menuju ke pejabat MCA di tingkat empat di Greenview, di pinggir Sandakan.
Mereka mendakwa 'ada orang' yang memberitahu bahawa MCA akan mengagihkan RM100 kepada setiap pengundi jika mereka datang mendaftar dan menunjukkan Mykad mereka.
Barisan itu sejak pagi tadi dikatakan hampir tidak bergerak namun ia tidak mematahkan semangat orang ramai yang terpaksa beratur di bawah panas terik sementara menunggu giliran mereka.
Antara mereka yang beratur itu mendakwa ada beberapa kes di mana golongan tua pengsan kerana panas terik.
"Kalau nak beri duit, buatlah secara teratur. Macam mana orang tua nak berdiri dan beratur sebegitu lama?” soalnya.
Bagaimanapun menjelang jam 3 petang, pengumuman dibuat bahawa tidak ada wang akan diagihkan.
Keputusan itu dipercayai ada kaitan dengan lawatan ADUN Sri Tanjung, Jimmy Wong ke pejabat MCA itu.
Beliau turun beberapa minit kemudian dalam memberitahu dalam bahasa Haka dan kantonis bahawa tiada wang yang diberikan dan mengarahkan orang ramai supaya pulang.
Beberapa pekerja parti MCA juga kemudian turun dan memaklumkan kepada orang ramai bahawa tiada bayaran akan dibuat.
Usaha ke pejabat MCA juga tidak berhasil kerana tidak ada sesiapa yang dibenarkan ke atas.
Ramai yang kemudiannya meninggalkan pejabat itu dengan keadaan marah.
“Sepatutnya hantar seorang perwakilan turun dan bagi tahu kami sama ada mereka nak bagi duit atau tidak. Ini biarkan kami tunggu begitu lama tanpa tahu apa yang sebenarnya berlaku,” marah seorang penjual daging.